Mahkamah Agung arah tangkap puluhan ribu anjing liar di New Delhi

Mahkamah Agung arah tangkap puluhan ribu anjing liar di New Delhi

BERDASARKAN bancian ternakan India pada 2012, terdapat sekurang-kurangnya 60,000 ekor anjing liar berkeliaran di jalan-jalan New Delhi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Mahkamah Agung India mengarahkan pemindahan puluhan ribu anjing liar dari ibu negara, New Delhi ekoran kebimbangan keselamatan awam susulan peningkatan kes gigitan anjing.

India yang menempatkan jutaan anjing liar sering melaporkan serangan maut, khususnya melibatkan kanak-kanak dan warga emas.

Menurut bancian ternakan negara itu pada 2012, terdapat sekurang-kurangnya 60,000 ekor anjing liar berkeliaran di jalan-jalan New Delhi, namun angka semasa dipercayai jauh lebih tinggi dengan kumpulan anjing membentuk ‘kawasan’ di taman-taman dan kawasan perumahan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini melaporkan India menyumbang lebih satu per tiga daripada kematian akibat rabies di seluruh dunia, diburukkan lagi oleh ketiadaan program pensterilan yang berkesan serta sekatan undang-undang terhadap pemusnahan anjing liar.

Dalam keputusan itu, Mah­kamah Agung mengarahkan pihak berkuasa bandar membina pusat perlindungan anjing dalam tempoh lapan minggu serta merekodkan secara harian jumlah anjing yang ditangkap.

“Apa yang penting, dan tanpa langkah ini usaha berkenaan akan sia-sia, adalah tiada seekor pun anjing liar dibebaskan semula,” kata mahkamah yang turut memanjangkan arahan itu kepada kawasan pinggir bandar New Delhi, sebuah bandar mega yang dihuni kira-kira 30 juta penduduk.

Mahkamah turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap aktivis haiwan yang cuba menghalang operasi tersebut, selain mengarahkan talian bantuan 24 jam diwujudkan untuk melaporkan kes gigitan anjing serta lokasi vaksin anti-rabies diumumkan kepada orang ramai.

Data yang dibentangkan di Parlimen India menunjukkan lebih 3.7 juta kes gigitan anjing dan 54 kematian disyaki akibat rabies dilaporkan pada 2024.

Angka tidak rasmi bagaimanapun menganggarkan jumlah sebenar hampir dua kali ganda, dengan Delhi sahaja mencatat kira-kira 2,000 kes gigitan setiap hari.

Walaupun menjadi ancaman, sebahagian anjing liar di kawasan kelas pertengahan tetap disayangi penduduk setempat biarpun tiada pemilik rasmi, malah ada yang dipakaikan jaket khas ketika musim sejuk namun, media tempatan sering melaporkan kejadian kanak-kanak cedera parah akibat di­serang kumpulan anjing agresif. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×