Mampukah Liga M 2025/2026 penuhkan stadium?

Mampukah Liga M 2025/2026 penuhkan stadium?

SETAKAT ini Stadium Sultan Ibrahim mencatat jumlah kehadiran penonton membanggakan semasa perlawanan Sumbangsih Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC, Jumaat lalu. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kehadiran penyokong ke stadium kekal menjadi tumpuan utama apabila Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 kembali membuka tirainya pada minggu lalu.

Besar harapan agar situasi musim lalu tidak berulang dan penyokong kembali memenuhi stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing bagi merancakkan liga domestik.

Aksi Piala Sumbangsih melibatkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menyaksikan kehadiran 32,777 penyokong, angka yang boleh dibanggakan.

Kehadiran penyokong yang ramai membantu Harimau Selatan merekodkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor dan lebih manis, ini permulaan sempurna serta trofi pertama buat jurulatih baharu JDT, Xisco Munoz.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran penyokong tidak memberansangkan melibatkan aksi lain iaitu Penang FC dan Terengganu FC (4,809) Kuching City FC dan Kelantan TRW (3,141), Imigresen FC lawan KL City FC (444) dan PDRM FC menentang DPMM FC (220).

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, situasi seperti musim lalu dijangka berterusan pada musim ini dengan penyokong tidak teruja untuk menyaksikan Liga M.

“Sekarang JDT masih lagi kuasa besar, tengok keputusan Piala Sumbangsih sudah cukup, mereka menang mudah. Jika Selangor yang berbelanja besar tidak boleh tandingi JDT, pasukan mana lagi boleh diharapkan.

“Saingan Liga Super agak ‘struggle’ untuk dapatkan sokongan peminat kecuali ada pasukan baharu yang boleh beri cabaran, nak harapkan DPMM FC, mereka pun seri 2-2 dengan PDRM FC dalam aksi pertama.

“Kalau ada pasukan bukan pilihan boleh lakar kejutan, ini akan jadi elemen menarik untuk orang datang ke Stadium. Macam aksi Perisai Komuniti, Liverpool kalah kepada Crystal Palace, jadi orang akan ada rasa untuk tengok lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu katanya, elemen ‘wow’ dan ‘magis’ juga perlu ada dalam pasukan Liga M untuk menarik minat penyokong hadir ke stadium.

“Elemen ‘wow’ dan ‘magis’ kena ada…Ini perlu didukung oleh kebijaksanaan jurulatih untuk bentuk pasukan yang mantap. Kena ada ‘Mutiara’ yang baharu untuk ditonjolkan. Dahulu misalnya Zainal (Datuk Zainal Abidin Hassan) dari pertahanan jadi penyerang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×