GUA MUSANG: Nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini, semalam dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah lori.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz Nor Amran, 32; dan dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, serta Muhammad Ayden Fattah, 4, serta adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, yang merupakan pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu Tuan Norsyuhada sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai.
Menurutnya, sejurus selepas tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Honda Civic EK mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut. Empat penumpang kereta iaitu Muhammad Faiz, dua anak dan adik perempuan kepada lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Choon Foo berkata, kesemua mangsa yang maut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang ibu tidak menyangka panggilan telefon kepada salah seorang anaknya menjadi yang terakhir apabila mereka maut dalam kemalangan itu.
Seorang ahli keluarga mangsa, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, berkata, ibunya Shahima Hamid sempat menghubungi adiknya, Nor Aina Imra setengah jam sebelum kemalangan tersebut.
“Pada pukul 7.30 pagi, saya menghubungi adik (Nor Aina Imra) dan memberitahu dia masih berada di luar kawasan Gua Musang.
“Pada pukul 10.30 pagi, kami dimaklumkan mengenai kemalangan terbabit. Sangat terkejut kerana Mama (Shahima Hamid) saya baharu sahaja hubungi mereka kira-kira setengah jam sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang di sini, semalam.
Muhammad Fakris berkata, sebelum itu semua mereka sempat menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur sebelum merancang pulang ke Pasir Mas awal pagi semalam.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah treler bertembung dengan kereta sehingga mengorbankan empat nyawa di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1.
Rakaman itu menunjukkan sebuah kereta jenis Honda Civic EK tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung treler. – UTUSAN










