376 IPTS kritikal - Utusan Malaysia

376 IPTS kritikal

Ada cadangan sistem UPU dirombak semula manakala pelajar yang tercicir ke universiti awam dihantar ke IPTS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar daripada 376 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang berdaftar di negara ini berdepan dengan penutupan operasi berikutan mengalami masalah kewangan kritikal selain 60 buah lagi telahpun ditutup tahun lalu berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hal ini sekali gus menjejaskan kira-kira 600,000 pelajar IPTS termasuk pelajar-pelajar asing yang kini mengikuti pengajian di institusi-institusi berkenaan.

Malah, serangan ‘domino Covid-19’ juga mempengaruhi pendaftaran pelajar ke IPTS termasuk pelajar-pelajar asing, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha-pengusaha berkaitan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Swasta, Prof. Datuk Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, jumlah pendaftaran pelajar ke IPTS merudum sekitar 20 hingga 40 peratus daripada kira-kira 600,000 pelajar IPTS akibat pelbagai faktor antaranya kebimbangan ibu bapa terhadap situasi pandemik Covid-19 dan kekangan kemasukan pelajar asing ke negara ini.

Beliau menjelaskan, sekiranya keadaan itu berterusan selain kesan pelaksanaan PKP, kemungkinan akan lebih banyak IPTS terpaksa dan terus berhadapan masalah kewangan kerana sudah tidak mampu menanggung kos operasi.

“Boleh dianggarkan kos operasi bagi sebuah universiti swasta yang bersaiz sederhana dengan jumlah pelajar sekitar 5,000 adalah antara RM10 juta hingga RM15 juta sebulan atau dianggarkan mencecah RM180 juta setahun.

“Kos ini termasuk kos gaji pensyarah dan kakitangan, penyelenggaraan bangunan, geran penyelidikan dan paling utama adalah biasiswa pelajar,” katanya.

Kamal Nasharuddin merangkap Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata, terdapat IPTS mencari jalan keluar bagi mengurangkan pergantungan kepada yuran pelajar semata-mata dengan mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk memperkenalkan medium zakat, wakaf dan sumbangan yayasan bagi menampung kos tersebut.

Selain itu, pihaknya berusaha untuk menghapuskan kebimbangan para ibu bapa bagi menghantar anak mereka ke IPTS dengan memberi penekanan aspek pematuhan prosedur standard operasi (SOP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, kerajaan perlu melihat kepentingan IPTS untuk mencorak masa depan modal insan negara kerana 600,000 daripada 1.3 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah daripada IPTS manakala 60 peratus daripada pelajar antarabangsa juga daripada IPTS.

“Jika IPTS terjejas, ia akan menjejaskan sumber ekonomi dan bakat masa depan negara apatah lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak mampu menampung kemasukkan pelajar saban tahun.

“Oleh demikian, kerajaan wajar memberi pelepasan cukai, memudahkan proses permohonan geran penyelidikan dan sebagainya untuk kesinambungan IPTS terus beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa mengakui nasib kira-kira 120 IPTS bumiputera kini ibarat di hujung tanduk apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos operasi selain pinjaman dengan syarikat kewangan susulan `serangan’ Covid-19 yang tidak berakhir.

Katanya, lebih malang apabila hari ke hari terdapat pelajar berhenti atau menanggungkan pembelajaran mereka kerana masalah kewangan serta berhadapan kekangan untuk meneruskan pengajian secara dalam talian khususnya di luar bandar.

Selain itu, Amir Hamzah memberitahu, kesan ‘domino’ iaitu dari segi penjadualan semula pelajar SPM turut menjadi faktor besar menjejaskan pendapatan IPTS apabila mereka tidak menerima kemasukan pelajar baharu seperti dua kali setahun sebelum ini.

Jelas beliau lagi, terdapat IPTS kecil perlu membayar kos operasi seperti gaji pensyarah dan kakitangan setiap bulan iaitu sekitar RM200,000 hingga RM400,000 bagi IPT mempunyai 1,000 hingga 1,500 pelajar dan kos sewaan serta utiliti premis meskipun sesi pengajaran dilakukan secara dalam talian.

“Ini tidak termasuk kos membeli sistem sokongan peralatan pembelajaran secara dalam talian yang perlu digunakan pensyarah dan jumlah keseluruhan kini adalah dua kali ganda,” kata beliau.

Sehubungan itu, Amir Hamzah mencadangkan agar pembiayaan pendidikan untuk pelajar melanjutkan pengajian diperluas dengan tidak hanya bergantung kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Mungkin Majlis Amanah Rakyat (Mara) boleh menambah jumlah pembiayaan atau pinjaman pendidikan untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak muda menyambung pengajian di peringkat IPTS. Ini bukan sahaja dapat memberi ruang mendapat akses pendidikan, tetapi demi menjamin modal insan negara di samping dapat membantu IPTS khususnya bumiputera,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×