WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pemecatan ketua agensi yang bertanggungjawab menerbitkan data ekonomi utama negara, susulan laporan pekerjaan lebih lemah daripada jangkaan mencetuskan kebimbangan terhadap dasar tarifnya.
Menerusi hantaran di media sosial, Trump tanpa sebarang bukti menuduh Pesuruhjaya Biro Statistik Buruh (BLS), Erika McEntarfer, memanipulasi angka pekerjaan atas motif politik.
Langkah drastik itu mengejutkan Wall Street dan mencetuskan kebimbangan mengenai campur tangan Rumah Putih dalam pengeluaran data ekonomi rasmi, ketika ramai penganalisis menjangkakan tarif dikenakan Trump bakal menjejaskan ekonomi.
Pengumuman itu turut berlaku ketika pasaran saham global mengalami kejatuhan mendadak selepas Trump meneruskan rancangannya untuk menaikkan tarif ke atas barangan import dari seluruh dunia.
Di AS, ketiga-tiga indeks utama pasaran saham jatuh dengan indeks S&P 500 ditutup susut 1.6 peratus, selepas jualan besar-besaran turut berlaku di pasaran Eropah dan Asia.
Ketua pakar ekonomi AS di Oxford Economics, Ryan Sweet, menyifatkan pemecatan ketua BLS sebagai membimbangkan dengan menekankan data ekonomi berkualiti tinggi adalah penting kepada sektor perniagaan dan sukar digantikan oleh sumber swasta.
“Ini jelas langkah ke arah yang sangat membimbangkan. Jika timbul sebarang keraguan terhadap integriti data, ia bakal menimbulkan banyak masalah,” katanya.
Trump bagaimanapun menepis kebimbangan terhadap rancangannya mengenakan tarif dengan mendakwa ia akan merangsang sektor pembuatan domestik dan membetulkan ketidakseimbangan perdagangan global.
Namun, data terkini serta beberapa kenyataan daripada syarikat mengenai beban kos tarif menyukarkan dakwaan itu dipertahankan.
Jumaat lalu, BLS melaporkan, hanya 73,000 pekerjaan baharu diwujudkan di AS pada Julai.
Agensi itu turut menyemak semula anggaran pekerjaan bagi Mei dan Jun dengan penurunan mendadak sebanyak 250,000 pekerjaan berbanding laporan asal.
Trump merujuk semakan semula angka tersebut ketika mengumumkan pemecatan McEntarfer.
“Kita perlukan angka pekerjaan yang tepat. Saya telah arahkan pasukan saya untuk pecat lantikan politik Biden ini, serta-merta,” tulis Trump di media sosial. -BBC










