Peniaga dituduh ugut sebar gambar bogel kenalan lelaki

Peniaga dituduh ugut sebar gambar bogel kenalan lelaki

S. CHANDRA (kiri) dituduh menyebarkan gambar bogel kenalan lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan pemerasan ugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang kenalan lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, S. Chandra, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

Chandra didakwa mengugut mangsa berusia 33 tahun dengan menyatakan gambar bogel lelaki itu akan disebarkan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM8,400 secara dalam talian di sebuah kediaman di Jalan Kelawai antara pukul 2 pagi hingga 11.30 pagi, 22 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam A. Mahesh.

Dalam rayuannya, Mahesh memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum dengan mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh yang menghidap asma dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, selain perlu menjaga ibu yang uzur.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan melarang tertuduh mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta menetapkan tarikh sebutan semula 2 September depan bagi serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×