SYDNEY: Australia bakal melaksanakan undang-undang media sosial baharu yang melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan laman penstriman video popular, YouTube.
Menteri Komunikasi, Anika Wells berkata, langkah ini diambil bagi melindungi golongan muda daripada algoritma pemangsa.
Jelasnya, empat daripada sepuluh kanak-kanak di Australia dilaporkan pernah terdedah kepada kandungan berbahaya di YouTube, antara laman web paling banyak dilayari di dunia.
“Kami mahu kanak-kanak mengenali siapa diri mereka sebelum platform mengenal pasti siapa mereka.
“Ada tempat untuk media sosial, tetapi tidak untuk algoritma pemangsa yang menyasarkan kanak-kanak,” kata Wells dalam satu kenyataan.
Australia sebelum ini mengumumkan perancangan menggubal undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform seperti Facebook, TikTok dan Instagram oleh individu bawah 16 tahun.
Pada mulanya, YouTube dijangka dikecualikan kerana penggunaannya yang meluas di dalam bilik darjah, namun Perdana Menteri, Anthony Albanese pada Rabu mengesahkan larangan itu turut melibatkan platform tersebut.
“Remaja bawah umur 16 tahun tidak akan dibenarkan memiliki akaun di YouTube.Mereka juga tidak akan dapat membuka akaun di Facebook, Instagram, Snapchat, TikTok, X dan beberapa platform lain.
“Kami mahu ibu bapa dan keluarga di Australia tahu kerajaan sentiasa berada di pihak mereka,” kata Albanese kepada media.
Albanese turut mengakui pelaksanaan had umur ini mungkin tidak akan sempurna seperti sekatan sedia ada terhadap alkohol, namun ia tetap dianggap langkah yang wajar.-AFP











