PETALING JAYA: Larangan pegawai penguat kuasa membawa telefon bimbit ketika bertugas perlu dikuatkuasakan bagi menangani kegiatan counter setting dan pasport terbang di pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan SPRM sebelum ini termasuk larangan pegawai membawa telefon bimbit ketika bertugas dilihat masih relevan bagi membanteras isu terbabit.
Selain itu, katanya, mana-mana pegawai yang dikesan terlibat dalam kegiatan sindiket itu perlu dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat.
“Tindakan tegas adalah langkah terbaik bagi memastikan integriti pegawai yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara sentiasa terpelihara.
“Jika mana-mana pegawai didapati bersalah terlibat dengan aktiviti ini, langkah yang wajar adalah mengusir mereka daripada jabatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Justeru, beliau beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bagi membincangkan isu berkenaan.
Jelasnya, sindiket tersebut dipercayai menerima bayaran antara RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada negara yang terlibat dalam aktiviti pasport terbang.
“Isu utama yang timbul di sini adalah tahap integriti pegawai-pegawai yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) berkata, pihaknya sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membabitkan isu counter setting dan passport terbang di pintu masuk negara.
Jelasnya, Imigresen tahun lalu telah bekerjasama dan melakukan tangkapan atas lebih 50 anggotanya yang terlibat dengan kegiatan counter setting.
“Bermula Januari lalu, AKPS telah mengambil alih fungsi dan kawalan pintu masuk jadi pemantauan kini di bawah tanggungjawab agensi terbabit.
“Bagaimanapun, tahun lalu Imigresen ada ambil tindakan dalam menangani isu ini jadi kita sedia berkongsi maklumat sekiranya diperlukan,” katanya.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.
Difahamkan, dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter sebelum dua lagi pegawai disyaki bersubahat turut diberkas.
Pada 24 Julai lalu, seorang pegawai penguat kuasa ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan salah laku ‘counter setting’.
Turut ditemukan, wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan nombor pasport dalam simpanan pegawai lelaki itu ketika ditahan. – UTUSAN









