Kerajaan lancar kempen makan buah, sayur tempatan

Kerajaan lancar kempen makan buah, sayur tempatan

MOHAMAD Sabu mencuba buah cempedak pada majlis perasmian ‘Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan’ sempena FAMA Fest 2025 @ Selangor di Klang, semalam. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan melancarkan ‘Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan’ bermula semalam sebagai usaha mempromosi dan meningkatkan ekonomi petani, tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kempen tersebut juga sebagai galakan kepada pengguna supaya mengutamakan produk tempatan terutama makanan.

“Kami lihat ketika ini banyak buah tempatan yang tidak bermusim seperti jambu dan belimbing boleh didapati di pasaran. Begitu banyak buah dan sayur tempatan yang sudah masak dan boleh dijual.

“Kami berharap rakyat Ma­laysia membeli produk (buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan) sebagai tanda so­kongan kepada petani tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen itu sempena karnival FAMA Fest 2025 @ Selangor, semalam.

Tambahnya, dengan me­ngambil contoh Thailand dan Jepun yang hanya menghidangkan makanan daripada produk tempatan masing-masing ketika majlis rasmi kerajaan.

Justeru, Mohamad Sabu memberitahu, beliau berharap rakyat di negara ini menyokong kempen tersebut sebagai tanda penghargaan mereka kepada petani tempatan.

“Seperti produk luar negara, buah serta sayur tempatan turut mempunyai khasiat yang banyak. Selepas ini kami akan mempromosikan kempen itu melalui program di bawah kementerian serta be­kerjasama dengan pihak lain,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli berkata, FAMA sudah pun mempromosikan kempen tersebut pada minggu lalu di sebuah sekolah di Tapah, Perak.

Menurutnya, hebahan me­la­­lui media sosial rasmi milik lembaga itu turut dilakukan bagi merancakkan kempen berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN