Ahli Pas bantu kempen Bersatu atas kapasiti individu

Ahli Pas bantu kempen Bersatu atas kapasiti individu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang bantuan ahli Pas kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat atas kapasiti individu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan parti kepada seluruh jenteranya adalah jelas iaitu memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandingi Pas sepanjang kempen PRN Johor.

Menurutnya, sekiranya terdapat ahli Pas yang membantu calon Bersatu, ia berlaku atas dasar hubungan peribadi dan bukannya mewakili pendirian rasmi parti.

“Kami menganggap itu berlaku dalam hubungan peribadi, perkara seperti itu berlaku dalam semua parti politik.

“Namun, arahan parti kepada jentera parti jelas, masing-masing bertugas di kawasan yang ditandingi parti masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas sama ada tindakan membantu calon parti komponen lain itu melanggar arahan Pas Pusat, beliau berkata, parti telah mengeluarkan pengarahan yang jelas kepada seluruh jenteranya.

“Pengarahan parti jelas, manakala individu yang mahu membantu parti komponen lain, itu hak masing-masing,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, Pengasas Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mendakwa masih terdapat jentera Pas yang membantu kempen calon Bersatu secara senyap di 16 kawasan yang ditandingi parti itu dalam PRN Johor.

Beliau berkata, kerjasama di peringkat akar umbi antara Bersatu dan Pas masih berjalan dengan baik, malah mendakwa melihat sendiri kehadiran jentera Pas membantu kempen calon Bersatu sepanjang minggu pertama berkempen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN