MADRID: Sekurang-kurangnya 54 kanak-kanak dan 30 orang dewasa nekad berenang merentas laut bergelora dan berkabus tebal dari Maghribi menuju ke wilayah kepulauan Ceuta milik Sepanyol di Afrika Utara, lapor stesen televisyen negara itu, RTVE.
Rakaman yang disiarkan menunjukkan bot Agensi Pengawal Awam Sepanyol berulang kali melancarkan operasi menyelamat untuk membawa para pendatang asing tersebut ke daratan dengan selamat, sementara sebilangan yang lain berjaya berenang terus ke pesisir Ceuta.
Majoriti kanak-kanak terbabit merupakan warganegara Maghribi dan mereka kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Ceuta, sementara pihak berkuasa wilayah menyeru campur tangan segera kerajaan pusat bagi menangani situasi berkenaan yang semakin mendesak.
“Jangan biarkan kami bersendirian. Ini bukan isu setempat, ini adalah urusan negara yang perlu diselesaikan segera,” kata wakil kerajaan wilayah Ceuta, Juan Rivas kepada media, Sabtu lalu.
Insiden ini mengulangi kejadian pada 26 Ogos tahun lalu apabila ratusan migran mengambil kesempatan dalam keadaan kabus tebal untuk berenang ke Ceuta dari Maghribi.
Pada tahun 2021, seorang kanak-kanak lelaki tular selepas hanyut ke Ceuta dengan menggunakan botol plastik kosong sebagai pelampung.
Ceuta dan Melilla merupakan dua wilayah milik Sepanyol di pesisir Laut Mediterranean yang berkongsi sempadan darat dengan Maghribi, dan menjadi satu-satunya pintu masuk darat Kesatuan Eropah (EU) dari benua Afrika.
Kedua-dua wilayah tersebut sering menjadi sasaran gelombang kemasukan migran dari Afrika yang mencuba nasib menyeberangi sempadan untuk ke Eropah.
Warga Maghribi yang ditahan ketika cubaan menyeberang akan dihantar pulang ke negara asal dengan serta-merta, kecuali jika mereka masih di bawah umur atau memohon suaka. -AGENSI











