PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui dia berasa kecewa selepas gagal membawa pulang pingat dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Lohrheidestadion, kelmarin.
Pelari berusia 21 tahun itu terpaksa berpuas hati di tempat keempat pada aksi final selepas menamatkan lariannya 10.35 saat (s) di belakang Hiroki Yanagita yang melakukan catatan masa 10.23s untuk membawa pulang gangsa.
Pingat emas dimenangi pelari dari Afrika Selatan, Bayanda Walaza yang melepasi garisan penamat 10.16s dan perak menjadi milik atlet Thailand, Puripol Boonson (10.22s).
“Mungkin itu sudah tertulis, saya pun dah cuba beri yang terbaik tapi Allah lebih tahu, lebih mengetahui. Saya bersyukur untuk habiskan larian, paling penting saya beri yang terbaik, apa yang saya mampu dalam keadaan cuaca macam ini.
“Tipulah tak kecewa, sasaran saya datang sini bukan saja untuk layak ke final tapi untuk berada di podium, hanya selangkah lagi ke podium lebih sakit sebenarnya. Tapi inilah kenyataan yang perlu dihadapi untuk menjadikan saya lebih baik masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Azeem layak ke final selepas menamatkan separuh akhir saringan tiga di tempat ketiga dengan catatan masa 10.43s di belakang Walaza (10.31s) dan Dominik Mark Illovszky dari Hungary (10.32s).
Namun, pencapaian yang dilakukan Azeem pada temasya itu jauh daripada masa terbaiknya musim ini iaitu 10.20s yang dilakukannya pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Jacksonville, Florida, Mei lalu. – UTUSAN










