Pembersihan runtuhan di Gaza ambil masa hingga 40 tahun

Pembersihan runtuhan di Gaza ambil masa hingga 40 tahun

israel
Orang ramai, sebahagiannya membawa bungkusan bantuan, berjalan di sepanjang jalan Salah al-Din berhampiran kem pelarian Nusseirat di tengah Semenanjung Gaza, digunakan oleh penduduk Palestin yang mencari makanan untuk sampai ke tempat pengagihan bantuan yang ditubuhkan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dikendalikan swasta, pada 25 Jun 2025. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Usaha untuk membersihkan berjuta-juta tan runtuhan akibat pengeboman Israel di Gaza boleh menghasilkan lebih 90,000 tan gas rumah hijau dan mengambil masa sehingga empat dekad untuk diselesaikan.

Kajian penyelidik dari Universiti Edinburgh dan Universiti Oxford mendapati kemusnahan terhadap rumah, sekolah dan hospital di Gaza antara Oktober 2023 hingga Disember 2024 menghasilkan sekurang-kurangnya 39 juta tan runtuhan konkrit.

Bagi memindahkan kesemua runtuhan tersebut ke tapak pelupusan, sekurang-kurangnya 2.1 juta lori pelupusan diperlukan untuk menempuh jarak sejauh 29.5 juta kilometer bersamaan dengan mengelilingi bumi sebanyak 737 kali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Proses itu sahaja dijangka menghasilkan hampir 66,000 tan karbon dioksida setara (CO2e).

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Research: Infrastructure and Sustainability itu menggunakan teknologi penderiaan jauh sumber terbuka untuk mengesan dan menganalisis pelepasan berkaitan konflik.

Ia adalah sebahagian daripada usaha global yang semakin berkembang untuk mengira kos alam sekitar dan iklim akibat peperangan dan pendudukan, termasuk kerosakan jangka panjang terhadap tanah, sumber air, makanan serta proses pembersihan dan pembinaan semula pasca-konflik.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa runtuhan di Gaza menyembunyikan ribuan mayat yang belum dikenal pasti, bahan toksik seperti asbestos dan peluru yang belum meletup sekali gus menambah cabaran terhadap kerja pembersihan.

Penyelidik turut menilai dua senario berkaitan pelupusan sisa tidak tercemar yang boleh digunakan semula dalam proses pembinaan semula Gaza.

Dengan jangkaan 80 peratus daripada runtuhan boleh dihancurkan semula, satu armada yang terdiri daripada 50 mesin penghancur industri yang tidak pernah dibenarkan beroperasi di Gaza akan mengambil masa kira-kira enam bulan dan menghasilkan hampir 2,976 tan CO2e. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN