MOSCOW: Satu siri gempa bumi kuat menggegarkan kawasan laut di timur jauh Russia pada Ahad, mencetuskan amaran tsunami, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa pertama bermagnitud 5.0 dan 6.7 tidak mencetuskan amaran tsunami.
Namun, gempa ketiga yang lebih kuat dengan magnitud 7.4 berlaku pada pukul 8:49 malam (waktu tempatan), menyebabkan USGS mengeluarkan amaran gelombang tsunami berbahaya berkemungkinan berlaku.
Amaran tersebut melibatkan kawasan pantai dalam radius 300 kilometer dari pusat gempa di Lautan Pasifik, berhampiran bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, di wilayah Kamchatka, Russia.
Bagaimanapun, wilayah AS termasuk Alaska yang terletak di seberang Laut Bering tidak termasuk dalam zon amaran.
Beberapa gegaran susulan turut direkodkan, termasuk satu lagi gempa bermagnitud 6.7.
Pusat gempa terletak kira-kira 140 kilometer ke timur Petropavlovsk-Kamchatsky, kawasan yang terkenal dengan aktiviti seismik kerana terletak di pertemuan plat tektonik Pasifik dan Amerika Utara.
Sejak tahun 1900, sekurang-kurangnya tujuh gempa besar dengan magnitud 8.3 atau lebih kuat telah melanda kawasan ini.-AFP











