LONDON: Beribu-ribu warga Afghanistan dipindahkan ke United Kingdom (UK) melalui satu skim rahsia yang diwujudkan selepas maklumat peribadi mereka secara tidak sengaja dibocorkan oleh seorang pegawai Kementerian Pertahanan (MoD) Britain.
Insiden kebocoran data tersebut berlaku pada Februari 2022 melibatkan butiran peribadi hampir 19,000 individu yang memohon untuk berpindah ke UK selepas Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan pada Ogos 2021.
Kerajaan Britain pada ketika itu hanya menyedari kebocoran data itu setahun kemudian iaitu pada Ogos 2023, selepas beberapa maklumat sensitif tersebut dikesan tersebar di media sosial termasuk Facebook.
Susulan itu, satu skim penempatan semula baharu secara senyap telah dilancarkan sembilan bulan kemudian untuk melindungi mereka yang terlibat.
Sehingga kini, kira-kira 4,500 warga Afghanistan tiba di UK menerusi skim tersebut yang dinamakan secara rasmi sebagai Afghan Relocation Route.
Namun, kewujudan kebocoran data dan pemindahan rahsia ini tidak diumumkan kepada umum setelah kerajaan memperoleh perintah mahkamah yang melarang sebarang pendedahan kepada umum atau media.
Maklumat mengenai insiden kebocoran ini hanya diketahui umum selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi membatalkan larangan tersebut pada Selasa, membenarkan butiran penuh didedahkan.
Menurut pendedahan kerajaan, data yang bocor mengandungi nama, maklumat hubungan dan butiran keluarga bagi individu-individu yang berisiko menjadi sasaran Taliban.
Jurucakap Downing Street enggan mengulas sama ada pegawai yang bertanggungjawab terhadap kebocoran ini telah dikenakan tindakan disiplin, dengan alasan mereka tidak akan memberi komen mengenai hal individu.
Setiausaha Pertahanan, John Healey dalam ucapan di Parlimen menyampaikan permohonan maaf kepada semua yang terjejas dan mengakui kesilapan serius itu berpunca daripada emel yang dihantar di luar sistem rasmi kerajaan.
Beliau menyifatkannya sebagai kesilapan jabatan yang serius, namun polis Metropolitan tidak melihat keperluan untuk menjalankan siasatan jenayah.
Healey turut mendedahkan insiden ini merupakan antara banyak insiden kehilangan data yang berlaku sepanjang operasi pemindahan dari Afghanistan.
Antara maklumat yang terjejas termasuk nama pegawai tentera kanan, ahli politik dan pegawai kerajaan. -AGENSI











