BISMARCK: Sebahagian besar wilayah Upper Midwest di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu diselubungi udara tidak sihat akibat asap tebal daripada kebakaran hutan di Kanada.
Keadaan itu sekali gus menghalang orang ramai yang ingin menikmati aktiviti luar seperti berkelah di tasik dan mendaki.
Kebanyakan kawasan di Minnesota serta beberapa bahagian Montana, North Dakota dan Wisconsin dikategorikan sebagai tidak sihat oleh peta kualiti udara Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA).
Bahagian barat North Dakota yang menempatkan Taman Negara Theodore Roosevelt dan tarikan pelancongan lain pula berada pada tahap sangat tidak sihat antara yang terburuk di negara itu.
Keadaan udara yang buruk itu bermula sejak Jumaat apabila asap dari kebakaran di Kanada turun ke permukaan, menurut ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Jennifer Ritterling di Grand Forks.
Jangkaan menunjukkan kualiti udara akan terus merosot sepanjang hujung minggu.
Ritterling menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang menghidap penyakit paru-paru seperti asma atau penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) agar menghadkan masa di luar, menutup tingkap dan menggunakan penapis udara. Malah, individu sihat juga digalakkan berbuat demikian.
Seluruh wilayah Manitoba, Kanada pula kini berada dalam keadaan darurat akibat kebakaran hutan yang semakin memburuk. Lebih 12,600 penduduk telah dipindahkan dari rumah masing-masing.
Kebakaran di wilayah tengah Kanada itu memusnahkan lebih 10,000 kilometer persegi tanah iaitu jumlah terbesar dalam tempoh 30 tahun sejak rekod digital disimpan.











