Pemandu teksi Afghanistan guna penyejuk udara buatan sendiri

Pemandu teksi Afghanistan guna penyejuk udara buatan sendiri

SEORANG pemandu teksi Afghanistan memasang sistem penyejuk udara buatan sendiri di atas kenderaannya di sebuah pasar di Kandahar.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Pemandu teksi di selatan Afghanistan menghasilkan penyejuk udara buatan sendiri menggunakan tong terpakai dan tiub ekzos yang dipasang di atas bumbung kenderaan bagi mengatasi cuaca panas ekstrem di negara itu.

Suhu di bandar selatan Kandahar sering melebihi 40 darjah Celsius, dengan pemandu mengeluh sistem penyaman udara kereta sering rosak.

Inovasi penyejuk udara itu dihasilkan beberapa pemandu teksi dalam usaha terdesak mereka untuk mengatasi bahang panas.

“Ia lebih baik daripada penyaman udara asal yang hanya menyejukkan di bahagian depan. Namun, penyejuk ini sebarkan udara ke seluruh kereta,” kata seorang pemandu teksi, Abdul Bari, kepada AFP.

Video daripada agensi berita menunjukkan Abdul menggunakan pita pelekat untuk memasang saluran keluar udara penyejuk ke tingkap teksi, manakala seorang pembantunya memanjat ke atas bumbung kereta bagi memasang unit utama.

Menurut Abdul, satu-satunya kekurangan sistem itu adalah keperluan untuk mengisi semula air dalam unit tersebut secara manual sebanyak dua kali sehari.

Seorang lagi pemandu teksi di Kandahar, Gul Mohammad, berkata dia mula menggunakan penyejuk udara khas itu beberapa tahun lalu apabila cuaca semakin panas.

“Sistem penyaman udara kereta tidak berfungsi, dan kos membaikinya terlalu mahal. Maka, saya pergi ke seorang juruteknik dan membuat penyejuk khas,” katanya yang membelanjakan AS$43 (RM182.80) untuk memasangnya.

Inisiatif kreatif itu turut mendapat pujian daripada penumpang.

Afghanistan, salah satu negara termiskin di dunia, juga antara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Kerajaan memberi amaran suhu panas dijangka melonjak di kebanyakan kawasan dalam beberapa minggu akan datang.

Negara itu mencatatkan musim bunga paling panas dalam sejarah antara April hingga Jun tahun ini.

Kemarau teruk turut merebak ke seluruh negara, menjejaskan tanaman serta sumber rezeki penduduk luar bandar, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) minggu lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×