GAZA: Lapan kanak-kanak antara 15 mangsa yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Khamis, ketika mereka beratur di luar sebuah pusat perubatan di bandar Deir Al Balah, tengah Gaza.
Menurut petugas perubatan Hospital Al-Aqsa, bayi berusia 17 bulan antara mangsa termuda yang maut, manakala tiga wanita dan empat lelaki turut dilaporkan terkorban dalam serangan itu.
Rakaman diperoleh CNN menunjukkan beberapa kanak-kanak kaku, sementara beberapa mangsa cedera lain meraung kesakitan.
Satu lagi video tragis memaparkan mayat kanak-kanak yang berlumuran darah dibawa menggunakan troli.
Tentera Israel mendakwa, serangan yang sekali lagi menyasarkan ramai korban awam itu kononnya menyasarkan seorang pejuang Hamas.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari laporan mengenai sejumlah individu yang cedera di kawasan tersebut. Insiden ini sedang disiasat.
“IDF kesal atas sebarang kecederaan terhadap orang awam dan beroperasi untuk mengurangkan kerosakan sedaya upaya,” kata kenyataan tentera Israel kepada CNN.
Ibu kepada bayi yang terkorban, Donia Halhoul berkata, mereka sedang menunggu bantuan makanan di pusat kesihatan tersebut ketika serangan berlaku.
“Walaupun sakit akibat cedera, ia tidak mampu menandingi kepedihan saya kehilangan Mohammad yang baru berusia 17 bulan dalam keadaan dia kelaparan.
“Dia masih kecil, baru pandai menyebut beberapa perkataan sebelum dibunuh,” katanya kepada CNN.
Donia berkata, kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun kritikal.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan berlaku berhampiran pusat kesihatan yang menyalurkan bantuan susu formula kepada wanita di wilayah itu.
Project HOPE, organisasi bantuan dari Amerika Syarikat (AS), mengesahkan berlaku letupan di hadapan klinik kesihatan mereka, lokasi bagi orang ramai mendapatkan rawatan untuk masalah kekurangan zat makanan, jangkitan serta penyakit kronik lain.










