Rafizi lancar petisyen pertahan kebebasan kehakiman

Rafizi lancar petisyen pertahan kebebasan kehakiman

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik amaran Istana Negara, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli melancarkan satu peti­syen dalam talian bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman.

Setakat pukul 6 petang, seramai 4,636 rakyat Malaysia menzahirkan sokongan terhadap petisyen yang diadakan dalam dua versi itu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, versi Bahasa Melayu lebih mendapat sambutan dengan 3,644 individu menandatangani petisyen berkenaan, sementara Bahasa Inggeris, seramai 992 orang.

Rafizi berkata, petisyen ber­kenaan dilancarkan susulan kebimbangan masyarakat terhadap kelewatan proses pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara, termasuk Ketua Hakim Negara dan Pre­siden Mahkamah Rayuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, petisyen itu bertujuan mempertahankan kebebasan dan integriti institusi kehakiman yang menjadi tonggak penting dalam memastikan keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa terus terpelihara.

Menurutnya, kebimbangan terhadap kebebasan kehakiman semakin memuncak apabila timbul dakwaan campur tangan eksekutif dalam proses pelantikan hakim, termasuk pencabulan terhadap prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Petisyen ini turut membangkitkan isu berkaitan seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang dikatakan cuba mempengaruhi keputusan kes, yang jelas mencetuskan keraguan terhadap keutuhan sistem kehakiman negara,” katanya da­lam kenyataan.

Tambah Rafizi, kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 8 Julai lalu yang me­ngakui wujud kelewatan serta masalah dalam proses pelantikan hakim turut mengukuhkan kebimbangan orang ramai.

Beliau menggesa rakyat Malaysia agar mengambil pendirian tegas mempertahankan institusi kehakiman daripada sebarang cubaan mencemari kebebasan dan kewibawaannya.

“Kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman mesti dipulihkan dan dipertahankan. Kita tidak boleh berdiam diri apabila terdapat cubaan mencabul prinsip pemisahan kuasa,” katanya.

Rafizi berkata, kebebasan institusi kehakiman merupakan tiang seri dalam sistem demokrasi dan perlu dipertahankan daripada sebarang cubaan campur tangan, khusus­nya dalam pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman.

“Saya menyeru seluruh rak­yat Malaysia untuk menandatangani petisyen ini sebagai tanda solidariti rakyat yang mahu ins­titusi kehakiman kekal bebas dan berintegriti,” katanya.

Kelmarin, Istana Negara memberi amaran agar isu pe­lantikan hakim yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, hendaklah ditangani dengan cermat dan tidak dipolitikkan.

Rafizi sebelum ini antara sembilan Ahli Parlimen kanan PKR yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di­raja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×