PETALING JAYA: Petisyen Remove Rohingya from Malaysia yang sebelum ini meraih hampir 450,000 tandatangan kini tidak lagi dapat diakses oleh orang awam.
Semakan Utusan Malaysia di laman web Change.org mendapati petisyen itu telah disekat buat sementara waktu bagi tujuan penelitian pihak pengurusan platform berkenaan.
Menurut laman web berkenaan, halaman itu mungkin sedang disemak oleh moderator yang menguatkuasakan garis panduan komuniti kami.
“Petisyen ini mungkin akan tersedia semula sebaik sahaja proses semakan selesai. Kami menghargai kesabaran anda,” katanya.
Petisyen dilancarkan akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa cari penyelesaian alternatif menangani kebanjiran pelarian Rohingya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Malaysia tidak boleh sesuka hati mengusir pelarian Rohingya kerana isu itu melibatkan pertimbangan kemanusiaan, keselamatan dan tanggungjawab antarabangsa.
Menurutnya, pendekatan terhadap pelarian tidak boleh didorong oleh emosi atau sentimen semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira realiti yang menyebabkan mereka meninggalkan negara asal.
“Pendekatan yang diambil perlu bersifat pertimbangan keselamatan dan prinsip kemanusiaan yang seimbang,” katanya. – UTUSAN










