PETALING JAYA: Petisyen untuk menghantar pulang atau ke negara ketiga pelarian etnik Rohingya di Malaysia kini mencecah lebih 130,000 tandatangan.
Semakan di laman web Change.org mendapati petisyen bertajuk ‘Remove Rohingya from Malaysia’ merekodkan 132,059 setakat pukul 11 pagi, hari ini.
Setakat 24 jam lalu, lebih 75,000 penyokong telah turunkan tandatangan mereka.
Petisyen yang dilancarkan 29 Mei lalu menuntut kerajaan untuk merangka pelan yang komprehensif bagi menangani isu kebanjiran pelarian etnik itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat.
Menurut penganjur petisyen, akaun Aku Anak Malaysia memaklumkan bahawa peningkatan jumlah Rohingya yang memasuki negara ini memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial semakin bertambah.
Katanya, kemasukan itu turut menimbulkan ketegangan dalam komuniti tempatan apabila sumber yang sedia terhad menjadi semakin terbeban.
“Kesan ekonomi daripada situasi ini tidak boleh dipandang ringan. Ketika Malaysia berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, kehadiran populasi pelarian yang besar memerlukan pengurusan yang teliti serta sumber yang signifikan.
“Kebimbangan berkaitan keselamatan juga timbul apabila terdapat laporan mengenai peningkatan kadar jenayah di kawasan yang mempunyai penempatan pelarian yang padat,” katanya.
Penganjur turut meminta pihak berkuasa bekerjasama dengan organisasi antarabangsa dalam mencari penyelesaian alternatif termasuk penempatan semula pelarian ke negara ketiga atau meningkatkan sokongan di wilayah asal mereka di Myanmar.
“Kami memahami aspek kemanusiaan yang berkaitan dengan situasi ini, namun kami percaya pendekatan semasa tidak lagi mampan untuk jangka panjang.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk mengutamakan kebajikan dan kestabilan rakyatnya sambil terus berusaha mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan untuk golongan pelarian,” katanya. – UTUSAN










