Jabatan AS setuju pakej 'dana politik' dibeku - Utusan Malaysia

Jabatan AS setuju pakej ‘dana politik’ dibeku

JABATAN kehakiman AS setuju dengan pembekuan ‘dana politik’. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memaklumkan akan mematuhi perintah mahkamah yang membekukan sementara pakej pampasan bernilai AS$1.8 bilion (RM7.13 bilion).

Sebelum ini, ia dikritik sebagai ‘tabung dana politik’ untuk sekutu Presiden Donald Trump.

Langkah itu dibuat susulan laporan media AS berhubung pentadbiran Trump bercadang membatalkan rancangan penubuhan dana berkenaan.

Dana itu telah menerima kritikan daripada parti Demokrat dan juga beberapa anggota Republikan.

Hakim Daerah AS, Leonie Brinkema, minggu lalu menghalang pentadbiran daripada mengambil sebarang tindakan lanjut untuk mewujudkan atau mengendalikan dana yang dikenali sebagai ‘Dana Anti-Penyalahgunaan Kuasa Politik’ sehingga pendengaran mahkamah pada 12 Jun.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, Jabatan Kehakiman berkata, pihaknya sangat tidak bersetuju dengan keputusan Brinkema. Namun, ia akan mematuhi arahan mahkamah tersebut.

Menurut jabatan berkenaan, dana itu diwujudkan untuk memberi pampasan kepada individu yang didakwa menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa, layanan tidak adil atau penganiayaan.

Ia turut menegaskan dana tersebut terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, sama ada Demokrat, Republikan, konservatif, bebas atau kumpulan lain. 

Menurut Axios dan beberapa media AS lain, pentadbiran Trump bercadang untuk membatalkan dana berkenaan.

Dana tersebut diwujudkan oleh Jabatan Kehakiman sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar biasa dalam saman sivil yang difailkan Trump terhadap Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) berhubung kebocoran rekod cukainya oleh bekas kontraktor kerajaan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN