EDMONTON: Seorang hakim di Alberta menolak petisyen yang menuntut pemisahan wilayah itu dari Kanada.
Petisyen itu ditolak selepas kumpulan pribumi First Nations berhujah bahawa tindakan tersebut akan melanggar hak perjanjian mereka.
Keputusan setebal 37 muka surat itu disampaikan oleh Hakim Shaina Leonard di mahkamah Edmonton pada Rabu.
Hakim Leonard mendapati terdapat kegagalan untuk berunding dengan kumpulan First Nations termasuk Athabasca Chipewyan First Nation, Blood Tribe, Piikani Nation dan Siksika Nation.
Beliau menyatakan bahawa pemisahan Alberta akan memberi impak besar terhadap dua perjanjian yang ditandatangani pada abad ke-19 antara penduduk pribumi dan kerajaan.
Keputusan tersebut menyatakan bahawa adalah tidak sah untuk mengadakan referendum tanpa terlebih dahulu berunding dengan kumpulan pribumi mengenai impak pemisahan tersebut.
Sebelum ini, kumpulan Stay Free Alberta mendakwa telah mengumpul lebih 300,000 tandatangan, jumlah yang mencukupi untuk mencetuskan referendum di seluruh wilayah.
Peguam yang mewakili Stay Free Alberta, Jeff Rath menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai mengandungi pelbagai kesilapan undang-undang.
Kumpulan itu merancang untuk memfailkan rayuan serta mempertimbangkan permohonan untuk menangguhkan perintah hakim berkenaan.
Sebaliknya, peguam bagi Athabasca Chipewyan First Nation, Kevin Hille menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan besar bagi kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak perlembagaan di Alberta. – AGENSI










