Solidariti Malaysia jadi sinar harapan untuk Gaza

Solidariti Malaysia jadi sinar harapan untuk Gaza

MALAYSIA mempunyai peranan penting dalam meneruskan tekanan diplomatik, menyampaikan bantuan dan menyemai kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus bersolidariti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERANGAN dilancarkan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 terus berlarutan tanpa sebarang tanda akan berakhir.

Situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal. Akses kepada makanan, air bersih dan bekalan ubat-ubatan semakin terhad manakala penutupan laluan bantuan di sempadan Rafah serta sekatan terhadap konvoi kemanusiaan menjadikan usaha menyelamatkan mangsa jauh lebih mencabar. Bantuan yang amat diperlukan tidak dapat sampai kepada mereka yang terdesak, menyumbang kepada penderitaan berpanjangan rakyat Gaza.

Pelbagai usaha antarabangsa untuk menghentikan keganasan ini dijalankan, namun kebanyakan inisiatif melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemui kegagalan. Amerika Syarikat (AS), yang mempunyai kuasa veto, beberapa kali menghalang resolusi penting bertujuan menamatkan serangan Israel. Tindakan ini menimbulkan kritikan terhadap sistem antarabangsa yang dilihat gagal menegakkan keadilan dan prinsip kemanusiaan sejagat.

Dalam masa sama, tindakan ketenteraan Israel semakin dikecam apabila dilihat sebagai genosid yang disengajakan. Serangan ke atas infrastruktur penting, pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan sistematik terhadap perumahan awam dianggap sebagai usaha untuk menghapuskan keseluruhan masyarakat Palestin di Gaza. Pencerobohan ini tidak hanya meragut nyawa, tetapi cuba menghapuskan kewujudan rakyat Gaza secara menyeluruh.

Golongan wartawan dan petugas media turut menjadi mangsa. Lebih 200 petugas media terbunuh, menjadikannya antara lokasi paling berbahaya di dunia untuk pengamal media.

Kehilangan suara-suara ini bukan sahaja menyekat akses kepada maklumat tepat tetapi turut mencerminkan besarnya risiko yang dihadapi mereka yang cuba menyampaikan kebenaran kepada dunia.

Di sebalik kegagalan badan antarabangsa dan sikap membisu kuasa besar, rakyat dunia terus menunjukkan solidariti terhadap Palestin. Di pelbagai negara termasuk Malaysia, perhimpunan aman, kempen boikot serta kutipan dana kemanusiaan giat dijalankan. Rakyat Malaysia, yang terkenal dengan semangat kemanusiaan, tampil menyumbang kepada tabung-tabung bantuan dan menyokong misi kemanusiaan yang dikendalikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Konflik di Gaza harus dilihat sebagai isu kemanusiaan sejagat, bukan semata-mata soal politik atau agama. Malaysia mempunyai peranan penting dalam meneruskan tekanan diplomatik, menyampaikan bantuan dan menyemai kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus bersolidariti.

Rakyat Malaysia diseru untuk terus memainkan peranan sama ada melalui sumbangan, advokasi, atau sokongan moral. Solidariti adalah senjata paling kuat untuk memastikan keadilan dan nilai kemanusiaan tidak terus tenggelam dalam bayangan peperangan.-UTUSAN

ABDUL KHADIR JAILANI ABD. GANI & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×