KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengisytihar dan melanjutkan tempoh darurat di Sarawak untuk mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku di tengah peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Sekali pun tempoh darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos depan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari untuk negeri itu selepas tarikh pembubaran DUN secara automatik pada 6 Jun.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, itu adalah langkah terbaik pada masa sekarang sekali gus menyorot PRN DUN Sabah pada tahun lalu yang menyumbang kepada peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga kini.

“Rakyat di Sarawak pun saya rasa rela begini daripada berdepan masalah. Mereka tidak marah pun jika tiada PRN. Kalau ada parti politik yang mendesak PRN dilaksanakan, ia tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan nyawa serta keselamatan rakyat.
“Kita juga sebenarnya berbelah bahagi antara memenuhi kehendak demokrasi dan juga risiko terhadap wabak Covid-19. Memang pilihan raya perlu dilakukan tapi pengalaman sebelum ini cukuplah menjadi pengajaran untuk kita semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengikut Perlembagaan Sarawak, DUN negeri akan menamatkan tempohnya menjelang 6 Jun depan iaitu genap lima tahun sejak tarikh mesyuarat pertama DUN pada PRN 2016.
Dalam keadaan biasa, DUN sepatutnya dibubar untuk mengembalikan hak demokrasi rakyat bagi memilih kerajaan melalui pilihan raya namun, bagi PRN Ke-12 ini, ia tidak dapat diadakan kerana negara masih berada dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos akan datang.
Baru-baru ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menentukan masa sesuai bagi membubarkan DUN.
Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Melor, Kelantan; DUN Bugaya, Semporna dan Parlimen Gerik ditangguhkan susulan darurat berikutan kematian penyandangnya.
Mengulas lanjut, kata Wan Ahmad, jika kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh darurat termasuk Sarawak selepas 1 Ogos nanti, SPR harus berbincang dengan kerajaan, Jabatan Peguam Negara, pakar kesihatan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan menangguhkan pilihan raya.
“Kalau saya masih ada kapasiti dalam SPR, saya akan memohon dengan Seri Paduka untuk melanjutkan darurat di Sarawak sahaja. Saya tidak nampak wabak akan berkurang, jadi keutamaan adalah keselamatan dan nyawa semua orang,” katanya.
Senada dengan beliau, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tempoh darurat di seluruh negara atau di Sarawak boleh dipanjangkan sehingga keadaan wabak benar-benar selamat namun begitu Parlimen sewajarnya dibenarkan bersidang.
Ini katanya, merujuk Fasal (9) Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150 Proklamasi Darurat, yang menyatakan Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masing berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis.
“Tidak ada sebab sidang Parlimen tidak boleh diadakan, apatah lagi tatacara yang sesuai boleh digubal melalui ordinan.
“Kalau darurat tidak dilanjutkan, DUN Sarawak akan bubar dan kerajaan sedia ada hanya boleh menjadi ‘caretaker’ bagi tempoh dua bulan sahaja dari tarikh 1 Ogos 2021, melainkan Agong berkenaan mengisytihar darurat di Sarawak,” katanya. – UTUSAN











