31 tentera Israel maut ditembak rakan sendiri di Gaza

31 tentera Israel maut ditembak rakan sendiri di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 31 tentera Israel dilaporkan terbunuh akibat ‘friendly fire’ atau terkena tembakan rakan sepasukan sepanjang serangan darat berterusan di Semenanjung Gaza, menurut laporan Army Radio pada Jumaat.

Menurut stesen penyiaran tersebut, kes kematian seramai 72 anggota tentera diklasifikasikan sebagai ‘insiden operasi’ sejak Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza pada 27 Oktober 2023.

Jumlah itu mewakili kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan 440 anggota tentera Israel yang terbunuh dalam operasi darat setakat ini.

Daripada jumlah itu, 31 kematian adalah akibat tembakan pasukan sendiri sementara 23 lagi akibat insiden berkaitan peluru dan senjata.

Tujuh lagi maut digilis kenderaan perisai, manakala enam lagi terkorban dalam insiden tembakan yang tidak diperincikan.

Sejak serangan ketenteraan Israel disambung semula pada 18 Mac lalu, dua kematian dilaporkan berpunca daripada insiden operasi daripada keseluruhan 32 kematian tentera dalam tempoh itu.

Selain itu, lima lagi kematian dilaporkan berpunca daripada kemalangan di lokasi bertugas, termasuk terjatuh dan kecuaian ketika mengendalikan peralatan kejuruteraan.

Satu insiden dilaporkan berlaku pada malam Khamis lalu, namun tiada butiran lanjut diberikan.

Data terkini tentera Israel menunjukkan, sejak permulaan perang pada 7 Oktober 2023, seramai 882 anggota tentera Israel terbunuh manakala 6,032 lagi cedera.

Walaupun masyarakat antarabangsa semakin lantang menggesa gencatan senjata, Israel masih ‘galak’ meneruskan serangan ketenteraannya ke atas Gaza yang disifatkan sebagai genosid.

Serangan ini sudah meragut nyawa lebih 57,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah tersebut.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melakukan genosid terhadap penduduk Gaza.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×