TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan beliau akan menghantar satu delegasi ke Qatar pada Ahad bagi menyambung rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Semenanjung Gaza, selepas Hamas menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan serta-merta.
Bagaimanapun, Netanyahu yang dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington pada Isnin, menyifatkan cadangan penambahbaikan oleh Hamas terhadap draf perjanjian gencatan senjata tajaan AS sebagai tidak boleh diterima.
Trump kini giat mengusahakan penyelesaian untuk menamatkan perang di Gaza yang berlarutan hampir 21 bulan.
Pada Jumaat, Hamas menyatakan kesediaannya untuk terlibat serta-merta dan secara serius dalam rundingan dengan menghantar maklum balas terhadap cadangan damai tersebut.
Setakat ini, Hamas belum memperincikan secara terbuka maklum balasnya terhadap cadangan perjanjian tajaan AS yang disalurkan menerusi perantara Qatar dan Mesir.
Dua sumber terdekat dengan rundingan tersebut berkata, cadangan itu melibatkan gencatan senjata selama 60 hari, di mana Hamas akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup serta beberapa mayat sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel.
Namun, Hamas turut menetapkan beberapa syarat, termasuk penarikan tentera Israel, jaminan pertempuran tidak akan disambung semasa rundingan berlangsung, serta pemulangan semula sistem pengagihan bantuan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perang di Gaza tercetus susulan serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas wilayah Israel, yang kemudiannya mencetuskan serangan balas besar-besaran oleh rejim tersebut dengan matlamat untuk menghancurkan kumpulan itu dan membawa pulang semua tebusan.
Dua gencatan senjata sebelum ini yang dimediasi Qatar, Mesir dan AS berjaya menghentikan pertempuran buat sementara waktu dan membolehkan beberapa tebusan Israel dibebaskan dengan pertukaran tahanan Palestin.
Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada Oktober 2023, sebanyak 49 orang masih ditahan di Gaza, termasuk 27 yang disahkan telah meninggal dunia oleh tentera Israel.
Sementara itu, kempen serangan balas Israel pula telah meragut sekurang-kurangnya 57,338 nyawa di Gaza, yang turut membabitkan majoriti orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP










