'Bangunan rekah sebelum runtuh 20 minit kemudian'

‘Bangunan rekah sebelum runtuh 20 minit kemudian’

PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan lima tingkat di Karachi, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARACHI: Angka korban akibat runtuhan bangunan lima tingkat di Karachi, Pakistan, meningkat 14 orang setakat semalam, selepas pasukan penyelamat meneruskan operasi mengesan mangsa sepanjang malam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi kelmarin di kejiranan padat dan miskin Lyari, yang dahulunya terkenal dengan keganasan kumpulan samseng dan dianggap antara kawasan paling berbahaya di Pakistan.

Ketua penyelamat, Abid Jalaluddin Shaikh berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan sepanjang malam tanpa henti.

“Ia mengambil masa lapan hingga 12 jam lagi untuk diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada AFP.

Menurut pegawai polis, Summiaya Syed, angka kematian setakat pagi Sabtu mencecah 14 orang, dengan separuh daripadanya wanita, manakala 13 lagi cedera.

Pegawai kanan polis, Arif Aziz berkata, dianggarkan sekitar 100 orang tinggal di bangunan berkenaan ketika kejadian.

Antara mangsa yang terselamat, Jumho Maheshwari, 70, memberitahu semua enam ahli keluarganya berada di rumah di tingkat satu ketika dia keluar bekerja pada awal pagi Jumaat, sebelum bangunan tiba-tiba runtuh.

Seorang lagi penduduk, Shankar Kamho, 30, memaklumkan terdapat sekitar 20 keluarga mendiami bangunan tersebut.

Kamho yang berada di luar ketika kejadian, menerima panggilan daripada isterinya mendakwa bangunan itu mula merekah, sebelum runtuh 20 minit kemudian.

“Saya arahkan dia segera keluar. Isteri saya sempat beritahu jiran, tetapi seorang wanita hanya membalas bahawa bangunan ini masih boleh bertahan 10 tahun lagi,” katanya.

Kejadian runtuhan bangunan sering berlaku di Pakistan, terutama disebabkan standard keselamatan yang lemah serta penggunaan bahan binaan berkualiti rendah.

Pada Jun 2020, sekurang-kurangnya 18 maut apabila bangunan kediaman yang menempatkan kira-kira 40 unit apartmen runtuh di kawasan sama.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×