Trump gusar Iran sambung program nuklear ke lokasi lain

Trump gusar Iran sambung program nuklear ke lokasi lain

IMEJ satelit menunjukkan gambaran keseluruhan kompleks Loji Pengayaan Bahan Api Fordo (Fordow), kira-kira 30 kilometer ke utara Qom di tengah Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan Iran belum bersetuju untuk membenarkan pemeriksaan terhadap program nuklearnya atau menghentikan aktiviti pengayaan uranium.

Bercakap kepada wartawan kelmarin, beliau percaya program nuklear Teheran dihentikan secara kekal, walaupun Iran berkemungkinan boleh meneruskan semula di lokasi lain.

Trump berkata, beliau akan membincangkan isu Iran bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa lawatan pemimpin itu ke Rumah Putih, Isnin ini.

“Saya boleh katakan program itu tergendala secara kekal. Saya rasa mereka perlu memulakan semula di lokasi lain.

“Dan jika mereka benar-benar menyambung semula program nuklear, ia akan menjadi satu masalah,” katanya ketika dalam perjalanan ke New Jersey selepas menghadiri Hari Kemerdekaan di Rumah Putih.

Trump turut menegaskan tidak akan membenarkan Teheran meneruskan semula program nuklear, selain mendakwa Iran mahu mengadakan pertemuan dengannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan pasukan pemeriksanya yang berada di Iran semasa konflik terbaharu sudah kembali ke ibu pejabat agensi itu di Vienna, susulan serangan ketenteraan Israel ke atas kemudahan nuklear di Iran.

Serangan yang berlaku selama 12 hari antara Israel dan Iran kira-kira tiga minggu lalu, menyebabkan pemeriksa IAEA tidak dapat mengakses tapak nuklear tersebut.

25 Jun lalu, Parlimen Iran meluluskan undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan IAEA.

Pegawai Iran mengkritik badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu kerana gagal mengecam serangan Israel dan AS, selain meluluskan satu resolusi pada 12 Jun yang menuduh Teheran tidak mematuhi kewajiban nuklearnya.

Serangan ketenteraan AS dan Israel merosakkan tiga tapak pengayaan uranium Iran, termasuk menyebabkan beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis kanan negara terbunuh.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×