Johari Mat Tokoh Maal Hijrah Perlis

Johari Mat Tokoh Maal Hijrah Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Perlis 1447 Hijrah kepada Dr. Johari Mat di Pusat Koreksional, Arau, Perlis. – UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sumbangan cukup besar dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di negara ini me­layakkan bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Prof. Emeritus Datuk Dr. Johari Mat diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis Tahun 1447 Hijrah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Majlis Maal Hijrah peringkat negeri ini di Dewan Auditorium Pulapen, Pusat Koreksional di sini semalam.

Penganugerahan tersebut membolehkan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) Kompleks Kota Darulnaim itu menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan baginda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berke­nan menyampaikan Anugerah Maal Hijrah kepada Raja Datuk Azwane Raja Ariff yang banyak menabur bakti di negeri ini selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan MAIPs dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Penganugerahan itu membolehkan beliau menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Baginda juga berkenan me­nyampaikan Anugerah Jaaizah Maal Hijrah kepada Naib Pre­siden Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Dr. Mohmad Asari Daud yang membolehkan beliau menerima wang tunai RM2,500, sijil penghargaan dan plak

Majlis tahun ini mengangkat tema ‘Membangun Ummah Madani Bestari’, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh nilai-nilai Islam, memperkasakan pembangunan ummah dan menyemarakkan semangat hijrah.

Sebanyak 31 anugerah telah disampaikan kepada penerima antaranya Anugerah Pengurusan Hal Ehwal Islam, Anugerah Khas Maal Hijrah, Anugerah Didik Maal Hijrah dan Anugerah Masjid Terbaik.

Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri komited membawa negeri ke arah masyarakat yang berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini