NEW YORK: Zohran Mamdani memenangi pemilihan utama Demokratik untuk jawatan Datuk Bandar New York City menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo dalam satu kejutan politik besar yang disahkan menerusi pengiraan undi terbaharu pada Selasa.
Agensi Associated Press mengisytiharkan kemenangan Mamdani selepas keputusan akhir sistem pengundian pilihan berperingkat menunjukkan beliau menewaskan Cuomo dengan kelebihan 12 mata peratusan.
Dalam satu kenyataan, Mamdani menyatakan rasa rendah diri atas sokongan yang diterimanya dan menyatakan beliau kini mula memberi tumpuan kepada pilihan raya umum pada November.
“Demokrat telah bersuara dengan jelas, menuntut sebuah bandar yang mampu didiami, politik masa depan dan pemimpin yang tidak gentar menentang kebangkitan autoritarianisme,” katanya.
Mamdani, 33, seorang ahli Dewan Perundangan Negeri New York sejak 2021 dan berhaluan sosialis demokratik sebelum ini hampir tidak dikenali ketika melancarkan kempennya yang berpaksikan dasar populis berani.
Namun, beliau berjaya membina gerakan akar umbi yang aktif dan dinamik, jauh meninggalkan Cuomo, veteran politik yang cuba kembali selepas meletakkan jawatan akibat skandal gangguan seksual empat tahun lalu.
Walaupun Mamdani mengisytiharkan kemenangan selepas undian ditutup minggu lalu, beliau masih perlu melalui kiraan semula susulan sistem undian berperingkat apabila tidak mencapai ambang 50 peratus secara langsung.
Beliau kini bakal berdepan persaingan dalam pilihan raya umum menentang Datuk Bandar sedia ada, Eric Adams, calon bebas Jim Walden serta calon Republikan Curtis Sliwa.
Cuomo, yang mengakui kekalahan pada malam keputusan diumumkan dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan bertanding dalam pilihan raya umum melalui tiket bebas.
Kemenangan Mamdani ini telah mencetuskan gelombang besar dalam landskap politik Amerika Syarikat (AS), menandakan perubahan arah dalam kalangan pengundi bandar raya terbesar negara itu. -AGENSI










