DENGAN perkembangan siri ketegangan dan konflik global yang semakin memuncak, terutama siri berbalas operasi serangan antara Iran-Israel, konflik berterusan Russia-Ukraine serta konfrontasi India-Pakistan. Kerajaan harus segera melaksanakan reformasi pertahanan strategik baharu dan membentangkan pelan tindakan yang bertujuan memperkasakan pertahanan serta daya tahan negara dalam melindungi kedaulatan mahupun keutuhan wilayah Malaysia.
Pelaksanaan reformasi pertahanan itu harus mewakili perubahan dalam cara kerajaan berfikir dan bertindak tentang pengalaman pertahanan di tengah-tengah gambaran geopolitik yang berubah dengan pantas.
Kerajaan harus menyemak Kerangka Pertahanan Negara, sebagai langkah pertama dalam menilai semula Kertas Putih Pertahanan.
Bahagian yang paling menarik dan memerlukan perhatian khusus ialah pelaburan serta pembangunan senjata baharu. Ia termasuk inisiatif memperluaskan keupayaan perangkaian sistem perintah dan kawalan, kumpulan dron sebagai unit senjata pemusnah, sistem peluru berpandu jarak jauh yang bersepadu, sistem pemintas ancaman udara serta pesawat jet pejuang yang baharu dilengkapi teknologi moden dan autonomi.
Semakan juga harus tertumpu kepada strategi serta inisiatif yang lebih sukar untuk bertindak balas terhadap cabaran keselamatan, iaitu ancaman terdekat sebagai negara maritim seperti tuntutan bertindih di Laut China Selatan, operasi khas serta peranan khusus di Asia Pasifik dan Lautan Hindi.
KESIAPSIAGAAN BERPERANG
Langkah-langkah signifikan perlu digariskan demi memastikan Malaysia senantiasa berada dalam mod ‘bersedia untuk bertarung dan memenangi perang’ terutama dalam perang berskala besar.
Yang penting, panduan baharu harus menunjukkan sistem pertahanan negara tidak lagi berada dalam era untuk bertahan semata-mata. Ia harus dalam persediaan yang komprehensif, ketersediaan yang tinggi dan teruji. Dengan peningkatan sentimen dan gerakan yang sedang menguasai persepsi sensitif dunia, kemungkinan Malaysia bukan sekadar harus memilih untuk bertahan tetapi sebaliknya berdepan kemungkinan dipaksa untuk berperang.
Oleh itu, kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menguruskan perubahan keperluan ketenteraan yang lebih kompleks dan menjadi lebih inovatif.
Untuk menjamin kesediaan ini, semakan kepada Tonggak Strategi Pertahanan Negara perlu menerapkan keupayaan model ‘daya komprehensif dan bersepadu’ yang lebih jitu berteraskan langkah rintangan kepada sebarang pencerobohan atau konflik. Ia perlu menggambarkan pendekatan ini sebagai keupayaan pembentukan pasukan tempur fizikal dan siber yang lebih tangkas lagi berimpak tinggi.
Reformasi juga memerlukan pendekatan yang merangkul seluruh masyarakat, termasuk memperluaskan pasukan khas atau kadet bawah 18 tahun secara sukarela, melindungi infrastruktur negara dan persepsi jangkauan awam.
INOVASI INDUSTRI
Reformasi yang strategik harus merangkul pelbagai cadangan seperti inovasi digital dan pengeluaran tempatan untuk unit senjata, peluru dan kenderaan perisai selain meneliti cadangan industri pertahanan boleh menjadi penyumbang lebih besar untuk mengembangkan ekonomi. Tetapi, ia harus mengkhususkan industri pertahanan negara agar tidak lagi terikat dalam kitaran perolehan senjata era selepas perang dingin. Ia harus menunjukkan keperluan untuk mempercepatkan perancangan dan perolehan serta menambah baik perkongsian dengan sektor komersial.
Kini, inovasi digital ketenteraan sedang dipacu industri di Amerika Syarikat (AS) dan China, seperti teknologi kerja kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi, robotik dan automasi.
Cabaran Malaysia ialah memanfaatkan hubungan baik dengan negara-negara tersebut untuk perkongsian teknologi persenjataan dan penerokaan inovasi yang tidak mempunyai kehadiran asas kepakaran dalam industri digital ketenteraan negara.
UTAMAKAN ASEAN
Reformasi strategi pertahanan ini juga harus mengakui keperluan dalam menetapkan pendekatan keutamaan ASEAN dalam mewujudkan kestabilan serantau selari dengan undang-undang antarabangsa.
Terdapat keperluan bagi Malaysia untuk menggandakan usaha dalam ASEAN selain meningkatkan sumbangannya kepada keselamatan wilayah Asia Tenggara dengan lebih meluas terutamanya apabila pencerobohan ketenteraan kini lebih kompleks serta tidak hanya lagi tertumpu kepada operasi penguasaan darat dan laut.
Dengan menyatakan ASEAN dan rantau Asia Pasifik akan menjadi rujukan utama Malaysia untuk tanda aras keselamatan, ini menandakan peralihan daripada fokus pertahanan kepada strategi peperangan yang lebih komprehensif.
Kepengerusian ASEAN harus dijadikan landasan yang sangat strategik untuk pembentukan reformasi pertahanan baharu dengan semangat kebersamaan inklusif.
Walau bagaimanapun, tanpa mengira ketetapan yang diambil rakan strategik ASEAN seperti AS, China dan Russia, penting bagi Malaysia mengekalkan hubungan diplomatik yang baik serta kukuh, kerana ia kekal sebagai sekutu. Ini akan menjamin kerjasama atau perkongisan teknologi pertahanan dengan baik di masa hadapan.
ASEAN masih dan seharusnya kekal sebagai landasan untuk membina persefahaman dan kesepakatan kerana ia wujud dengan kukuh dan telah membina institusi untuk menjamin kerjasama dan penyelarasan pertahanan ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebagai kesimpulan, reformasi strategi pertahanan dan ketenteraan strategik negara harus mengiktiraf hala tuju dasar berkecuali untuk Malaysia, pemerkasaan tonggak persefahaman hubungan ASEAN serta menjamin kesediaan industri pertahanan negara untuk membentuk budaya inovatif pertahanan dan ketenteraan agar kedaulatan dan keutuhan wilayah terjamin.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengurus Operasi Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).










