APABILA memperkatakan tentang kesihatan mental, mungkin ramai daripada kita terus mengaitkannya dengan penyakit mental. Lebih-lebih lagi, dicop dengan stigma ‘orang gila’ atau ‘Hospital Tanjung Rambutan’. Tanggapan umum masyarakat kita terhadap kesihatan mental ini sebenarnya tidak tepat.
Masyarakat kita perlu dididik dan didedahkan tentang kesihatan mental agar mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap isu kesihatan mental.
Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kesihatan mental. Yang membezakan antara satu individu dengan individu yang lain ialah sejauh mana kedudukan kesihatan mental masing-masing. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari kemampuannya tersendiri, dapat mengatasi tekanan seharian yang biasa, mampu bekerja dengan produktif dan efektif dan dapat menyumbang kepada masyarakat sekitarnya. Secara ringkas, kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial dalam diri seseorang. Tahap kesihatan mental mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak. Serta bagaimana kita menangani stres, berhubung dengan orang lain dan membuat keputusan.
Seseorang individu itu dapat disifatkan sebagai sihat mentalnya, sekiranya boleh mengurus emosinya seperti marah, sedih, kecewa, gembira dan takut dengan baik.
Orang yang sihat mentalnya mampu berfungsi dalam kehidupan harian dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan yang waras. Paling penting ialah masih boleh menyimpan harapan atau bermotivasi, walaupun wujud tekanan di sekelilingnya.
Mana-mana individu yang tidak mampu mengawal dan menangani perasaan emosi serta pemikiran atau tingkah laku dengan baik, terdedah dengan kesihatan mental yang rendah. Sesiapa sahaja boleh terdedah dengan penyakit mental, jika isu kesihatan mental yang dihadapinya tidak ditangani.
Kini, lebih 200 jenis yang ditakrifkan sebagai penyakit mental telah dikenalpasti.
Antara yang sering dihidapi ialah kemurungan, keresahan, kecelaruan bipolar, skizofrenia, kecelaruan hiperaktif dan sebagainya. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), pada 2023 sahaja, sejumlah sejuta rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun mengalami masalah kemurungan.
Kadar ini adalah dua kali ganda berbanding 2019. Malah, kadar rakyat Malaysia yang melakukan cubaan bunuh diri turut meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
NHMS merekodkan peningkatan cubaan bunuh diri daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus pada 2025. Data-data ini jelas menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan dan perlu diberikan perhatian bukan sahaja oleh pihak kerajaan, tetapi juga masyarakat, khasnya ibu bapa.
Dalam pada itu, kita menyaksikan peningkatan kes-kes jenayah di serata negara sejak kebelakangan ini. Salah satu puncanya ialah tahap kesihatan mental yang sangat rendah, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan generasi muda. Salah satu punca utamanya ialah tekanan berkaitan akademik. Ramai pelajar berasa terbeban dengan harapan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, beban tugasan yang tinggi serta tekanan daripada ibu bapa dan guru. Selain itu, persaingan sesama rakan sebaya turut memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi pelajar, yang boleh membawa kepada masalah seperti kemurungan, kebimbangan berlebihan dan gangguan tidur.
Pengaruh media sosial sebagai salah satu pencetus kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan pelajar tidak wajar dipandang ringan. Dalam rutin harian, pelajar sering terdedah kepada perbandingan sosial apabila melihat kejayaan, gaya hidup dan penampilan rakan sebaya di platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook.
Pendedahan berterusan ini boleh mencetuskan rasa rendah diri, hilang keyakinan serta tekanan untuk menyesuaikan diri dengan standard kehidupan yang digambarkan secara tidak realistik dalam media sosial.
Faktor persekitaran yang sedia ada turut menjejaskan kesihatan mental generasi muda pada hari ini. Dalam hal ini, persekitaran yang dimaksudkan ialah suasana yang wujud dalam rumah dan komuniti. Sebuah rumah yang dipenuhi konflik rumah tangga seperti pergaduhan ibu bapa, pengabaian emosi atau fizikal serta tekanan keluarga sudah tentu memberikan kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi. Anak-anak melihat, mendengar dan hidup dalam suasana tersebut cenderung untuk mengalami kemurungan, dan trauma emosi.
Isu keseriusan kesihatan mental dalam kalangan generasi muda ini perlu ditangani secepat mungkin agar ia tidak melarat. Dalam soal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sememangnya sudah menekankan tentang kepentingan kesihatan mental dalam beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, program bimbingan dan kaunseling. Malah, ada beberapa program seperti Program Sekolah Sejahtera dan Pelan Tindakan Menangani Masalah Kesihatan Mental Murid (2022–2025) oleh KPM. Namun usaha KPM ini tidak boleh direalisasikan sepenuhnya tanpa bantuan sokongan dan bantuan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Semua pihak perlu berganding bahu demi kemenjadian anak-anak kita. Bak kata peribahasa Melayu, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai.
Pendek kata, kita mahukan generasi muda yang memiliki kekuatan diri, berupaya mengekalkan keseimbangan diri, mampu bangkit semula walaupun berdepan dengan berbagai ujian diuji. Yang paling penting ialah berasa puas hati dengan kehidupan mereka. Hanya dengan ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera dan seimbang boleh direalisasikan. Kita tidak boleh berdiam diri, kerana kesihatan mental generasi muda adalah cermin masa depan negara. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh, Perak.










