JAKARTA: Sebuah pesawat yang membawa ratusan jemaah haji Indonesia dari Asia Barat terpaksa diubah haluan pagi tadi susulan ancaman bom, menjadikan insiden kedua seumpamanya dalam tempoh seminggu.
Pesawat Saudia Airlines, penerbangan SV5688, berlepas dari Jeddah, Arab Saudi ke Muscat, Oman sebelum meneruskan penerbangan ke Surabaya di Pulau Jawa, Indonesia.
Bagaimanapun, pihak kawalan trafik udara di Jakarta menerima panggilan mengenai ancaman bom terhadap pesawat berkenaan, sekali gus menyebabkan ia diarahkan mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan, Sumatera Utara.
Menurut kenyataan dari Direktorat Jenderal Perhubungan Udara, pasukan keselamatan segera dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat sejurus ia mendarat.
Ketua pihak berkuasa lapangan terbang wilayah, Asri Santosa berkata operasi lapangan terbang tetap berjalan seperti biasa manakala semua 376 penumpang yang merupakan jemaah haji dari Pulau Jawa serta 13 anak kapal berada dalam keadaan selamat.
“Pasukan pemusnah bom telah dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas pesawat,” kata jurucakap Polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan kepada agensi berita AFP.
Tambah Asri, kesemua penumpang dijadualkan menyambung perjalanan pulang mereka pada hari Ahad.
Menurut laporan portal tempatan Tempo, pasukan khas antikeganasan Indonesia, Densus 88 kini sedang menyiasat ancaman terbaharu itu.
Untuk rekod, pada Selasa lalu, sebuah lagi pesawat yang membawa 442 jemaah haji dari Arab Saudi ke Jakarta turut diubah haluan ke Medan selepas satu ancaman bom diterima menerusi emel oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung siasatan ancaman tersebut.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan mengenai kewujudan bahan letupan di dalam pesawat, namun pihak berkuasa menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menjamin keselamatan penumpang serta ruang udara negara.










