Grealish, Garnacho mana satu pilihan Napoli 

Grealish, Garnacho mana satu pilihan Napoli 

Jack Grealish hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan sebagai kesebelasan utama dalam saingan liga musim lalu dan telah diberi lampu hijau oleh kelab untuk mencari destinasi baharu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City bersedia menerima kerugian besar terhadap pemain sayap mereka, Jack Grealish apabila sanggup melepaskan pemain berkenaan dengan nilai sekitar RM268 juta jauh lebih rendah daripada harga belian asalnya RM596 juta tiga tahun lalu.

Menurut laporan The Sun, keputusan itu diambil susulan kegagalan Grealish menambat hati pengurus City, Pep Guardiola yang tidak menyenaraikan pemain England itu dalam skuad 27 pemain ke Piala Dunia Kelab 2025 yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat.

Napoli, juara Serie A musim 2022-23 muncul kelab yang berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu, bagaimanapun laporan turut menyebut kelab Itali itu juga sedang menilai peluang mendapatkan pemain muda sensasi Manchester United, Alejandro Garnacho.

Grealish hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan sebagai kesebelasan utama dalam saingan liga musim lalu dan telah diberi lampu hijau oleh kelab untuk mencari destinasi baharu.

Sumber turut memaklumkan keputusan Guardiola untuk meminggirkan Grealish daripada skuad ke Piala Dunia Kelab sebagai petanda jelas pemain itu bukan lagi sebahagian daripada perancangan jangka panjang pasukan.

Alejandro Garnacho

Sementara itu, Garnacho, 20, yang turut berada dalam radar Napoli dikatakan mungkin meninggalkan Old Trafford selepas digugurkan daripada aksi akhir Liga Europa menentang Tottenham bulan lalu. 

United meletakkan harga sekitar RM417 juta untuk pemain Argentina itu yang masih mempunyai baki tiga tahun kontrak.

Napoli pula dipercayai hanya akan menandatangani salah seorang daripada Grealish atau Garnacho, dengan kelab itu baru sahaja menyempurnakan pembelian Kevin De Bruyne dari City awal minggu ini.

Dalam perkembangan sama, pengurus England, Thomas Tuchel dilaporkan telah memberi peringatan kepada Grealish bahawa dia perlu mendapat lebih banyak minit permainan jika mahu kembali ke dalam perancangan skuad kebangsaan.

Grealish merupakan tonggak penting dalam kempen treble City pada musim 2022-23, namun prestasi tidak konsisten dan kecederaan menyebabkannya semakin tersisih. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×