TAPAH: Bekas banduan yang dibebaskan dari Penjara Tapah di sini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) sempena Hari Raya Aidiladha menyesali atas kesalahan dilakukan sehingga menyebabkan dipenjara.
Mereka berazam mengubah hidup dan tidak mahu lagi terjebak dalam jenayah.
Seorang prospek yang dibebaskan yang dikenali sebagai Mi berkata, kerana ketagihan dadah jenis heroin, dia keluar masuk menjalani hukuman di penjara beberapa kali.
“Umur saya dah 53 tahun jadi cukup-cukuplah. Keluarga musnah kerana telah bercerai dengan isteri dan tidak dipedulikan oleh tiga anak yang telah dewasa.
“Saya mahir menebar roti canai selain pernah mengusahakan warung namun kerana ketagihan dadah semua itu hilang sekelip mata,” katanya.
Ujarnya dengan usia semakin lanjut, dia mendakwa telah benar-benar insaf selain tidak ingin menyentuh ‘benda haram’ itu lagi.
“Usia semakin lanjut. Saya serik untuk keluar masuk penjara dan bertekad ingin kembali membuka warung untuk menjalani saki baki kehidupan sebelum dipanggil Tuhan.
“Tidak terfikir untuk berkahwin lagi kerana saya perlu betulkan diri dahulu sepenuhnya takut-takut akhirnya kembali kecundang,” katanya.
Bagi seorang prospek lelaki yang ingin dikenali sebagai Tanjung, 55, peluang kedua dibebaskan awal kali ini akan digunakan sebaiknya untuk berubah secara total.
“Saya ingin konsisten bekerja bagi menyara kehidupan. Bergelumang dengan dadah heroin menyebabkan sengsara yang berpanjangan.
“Saya bercerai dengan isteri selain tidak diterima oleh keluarga. Saya bertekad jauh daripada dadah selain mula menjalani kehidupan baru dengan sebaiknya,” katanya.
Ujarnya, dengan usia yang lanjut menghampiri status warga emas kelangsungan hidup lebih penting berbanding memiliki pasangan baru.
Mereka merupakan antara 23 prospek atau bekas banduan yang dibebaskan pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) sempena Hari Raya Aidiladha 2025 yang merangkumi 22 daripada Penjara Tapah dan seorang prospek dari Pusat Koreksional Batu Gajah. – UTUSAN











