ATURAN kerja fleksibel (FWA) semakin diterima majikan dan pekerja sejak pandemik, apabila lebih ramai menyedari manfaat waktu kerja anjal dalam mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi.
Bagi sesetengah pekerja, FWA meningkatkan kecekapan apabila tugasan dapat disiapkan pada waktu paling sesuai mengikut kemampuan individu.
Bagaimanapun, timbul juga isu seperti kegagalan mengurus masa hingga menjejaskan prestasi.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pelaksanaan FWA perlu dilakukan secara teliti dan seimbang bagi mengelak penyalahgunaan dan memastikan produktiviti kekal tinggi.
“FWA mampu menarik dan mengekalkan bakat, terutama golongan muda dan profesional, serta meningkatkan kesejahteraan dan prestasi kerja.
“Ia juga mengurangkan kos operasi seperti sewaan pejabat dan utiliti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan FWA perlu dibuat secara sistematik dan mengikut keperluan sektor serta jenis pekerjaan bagi mengelak penyalahgunaan.
“Banyak syarikat swasta sudah membuktikan keberkesanan FWA dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi. Namun, ia tidak sesuai untuk semua industri seperti pembuatan, logistik dan perkhidmatan fizikal.
“Selain itu, MEF juga menggesa sektor awam memanfaatkan FWA bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan melalui pendigitalan, termasuk waktu kerja anjal dan hibrid yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta keperluan ruang pejabat.
“Bagaimanapun, pelaksanaan perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan akses dan mutu perkhidmatan kerana penilaian prestasi juga wajar disandarkan kepada indikator objektif dan sistem pemantauan berkesan,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya garis panduan jelas untuk mengekalkan disiplin kerana ketiadaan pemantauan fizikal boleh menjejaskan prestasi.
Menurutnya, pelaksanaan FWA perlu berdasarkan keperluan sektor kerana ia tidak sesuai untuk semua, seperti industri pembuatan, logistik dan perkhidmatan fizikal.
“Namun, sektor awam juga wajar manfaatkan FWA, misalnya menerusi pendigitalan, waktu kerja anjal dan kerja hibrid untuk kurangkan kesesakan dan keperluan ruang pejabat. Tapi ia perlu dilaksana secara berhati-hati agar mutu perkhidmatan tidak terjejas.
“Selain itu, latihan berterusan bagi membantu pekerja kekal produktif dalam sistem kerja fleksibel.
“Antara latihan yang disaran termasuk pengurusan masa, perancangan tugasan, penggunaan aplikasi digital dan etika komunikasi dalam talian. Majikan perlu bertindak sebagai fasilitator dalam pembangunan keupayaan pekerja,” katanya.
Syed Hussain berkata, FWA bukan sekadar trend sementara, tetapi satu transformasi jangka panjang yang membawa nilai tambah jika dilaksanakan dengan berdisiplin dan penuh tanggungjawab.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaksanaan FWA kini lebih mudah dengan kemajuan teknologi dan amalan kerja dari rumah yang menjadi norma selepas pandemik.
“Gaya hidup bandar dan kesesakan lalu lintas juga menunjukkan keperluan FWA seperti semasa pandemik, FWA terbukti berkesan dan selepas itu, ia kekal relevan dengan produktiviti lebih tinggi apabila pekerja dapat fokus sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan ekonomi gig turut mengubah landskap tenaga kerja negara, dengan Bank Dunia menganggarkan 12 peratus tenaga kerja global kini terdiri daripada pekerja gig dalam talian.
“Namun, tidak semua sektor sesuai guna FWA. Pekerjaan yang perlukan kehadiran fizikal seperti operator, pembersih atau pemandu tidak dapat dilaksana secara fleksibel.
“Sebaliknya, sektor teknologi dan perkhidmatan lebih serasi, malah berjaya tarik minat Generasi Z yang lebih cepat menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau berkata, Pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 60P dan 60Q, memberi peluang kepada pekerja memohon FWA bagi meningkatkan keseimbangan hidup dan kerja.
“Dengan dasar ini, kerajaan boleh bekerjasama dengan sektor swasta dan beri insentif seperti rebat cukai kepada majikan yang melaksanakan FWA secara sistematik,” katanya.-UTUSAN










