KUANTAN: “Kalau boleh hendak meninggal dunia di Mekah.”
Itu antara kata-kata terakhir Allahyarham Mohamad Noor Mustaffar, 64, sebelum berangkat menunaikan ibadah haji, yang akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di tanah suci.
Allahyarham adalah jemaah haji pertama dari negeri ini yang dilaporkan meninggal dunia di Mekah tahun ini, akibat serangan jantung Isnin lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan.
Anaknya, Nor Erna Izzati, 31, berkata, berita pemergian ayahnya dimaklumkan wakil pengurusan haji yang menghubungi kakaknya pada petang hari kejadian.
“Kami dimaklumkan ayah meninggal dunia akibat serangan jantung. Sebelum itu, mak beritahu pagi itu abah masih sihat walaupun demam sedikit. Masih boleh bangun dan sempat hadir taklimat bersama jemaah lain.
“Tetapi ketika berada di bilik air, abah terjatuh. Kawan sebilik dengar bunyi jatuh, masuk dan cuba membantu serta mengajarnya mengucap. Selepas itu, abah terus pergi buat selamanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, bapanya beberapa kali meluahkan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah kepada saudara-mara sebelum berangkat menunaikan haji.
“Arwah ada cakap dekat sepupu yang dia nak meninggal di Mekah. Tapi dengan kami anak-anak, dia tak tunjuk langsung. Malah sebelum pergi, dia sempat jumpa semua kawan-kawan.
“Arwah sempat berpesan kepada anak saudara bakal berkahwin supaya menyegerakan majlis kerana katanya nanti dia nak ‘tinggal’ di Mekah,” katanya.-UTUSAN










