PETALING JAYA: China Galaxy Securities Co., Ltd (CGS) dan CGS International Securities Group (CGS International) menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) strategik dan satu surat niat (LOI) dengan syarikat terkemuka, rakan kongsi pembangunan dan pengurus pelaburan di seluruh ASEAN dan China.
Perjanjian yang ditandatangani pada Forum Perniagaan ASEAN 2025 (ABF2025) itu menyasarkan untuk menggalakkan pertumbuhan rantau ASEAN sebagai kuasa ekonomi serantau yang bersepadu dan kohesif.
Ia juga memperdalam kerjasama rentas sempadan dan mempercepatkan aliran modal merentas sektor pertumbuhan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, Carol Fong berkata, pemeteraian MoU ini lebih daripada sekadar niat dan perjanjian, ia menandakan keyakinan kukuhnya terhadap potensi pelaburan dan pertumbuhan ASEAN dan Malaysia.
“CGS International berbangga untuk memainkan peranan sebagai penyambung dan pemangkin dan untuk memanfaatkan kehadiran ASEAN kami yang lebih luas dan sokongan induk dari China.
“Ini untuk membantu pelanggan dan rakan kongsi kami mempercepatkan kerjasama strategik rentas sempadan, modal dan mobiliti bakat untuk pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
LOI tersebut adalah untuk Program Pelaburan China-ASEAN iaitu menubuhkan dana ekuiti persendirian untuk melabur dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti penjagaan kesihatan/peranti perubatan, semikonduktor, pembuatan termaju dan tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, lima MoU tersebut adalah dengan MIDA; Fullgoal Asset Management (HK) Limited (Fullgoal HK) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia); GL Capital Management Limited; OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan CGS International dengan Zhongguancun International Holding Limited (Hong Kong). – UTUSAN










