PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menutup tirai semalam dengan menyentuh pelbagai isu.
Kuala Lumpur menjadi saksi ASEAN dilihat lebih jelas sebagai sebuah gabungan yang bersifat inklusif berbanding awal penubuhannya pada tahun 1967.
Daripada hanya lima negara iaitu Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand pada ketika itu, jumlahnya terus bertambah dengan penyertaan Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam pada tahun 1990-an.
Terbaharu, Timor Leste dijangka menyertai gabungan ini pada Oktober nanti. Kalau dilihat dalam tempoh 58 tahun ASEAN, gabungan ini jelas mempunyai tujuan dan asas kukuh yang bukan sekadar berkisar kepada ekonomi semata-mata.
Namun, dalam membicarakan kebersamaan pemimpin ASEAN dalam pelbagai isu, terdapat batu penghalang dan kekangan sehingga gabungan ini dilihat seolah-olah tidak beridentiti dan bukan satu blok yang kuat.
Isu tersebut semestinya masalah melibatkan Myanmar dan pertikaian Laut China Selatan.
Apabila memperkatakan kedua-dua isu ini juga, tidak keterlaluan untuk menyebut nama China sebagai pemain ‘watak’ utama.
Terdapat laporan yang mendakwa China sebagai antara negara yang membekalkan senjata dan teknologi kepada rejim Myanmar sebelum ini.
Malah ada juga laporan bahawa sebahagian negara ASEAN menjadi saluran kepada bantuan berkenaan.
Itu belum lagi soal Laut China Selatan. Apa yang boleh dilihat masa ini ialah ASEAN tidak dapat bersama-sama mengecam China disebabkan ada negara anggota (Myanmar, Laos, Thailand dan Kemboja) tidak mempunyai kepentingan dalam pertikaian di kawasan berkenaan disebabkan faktor geografi.
Justeru, persoalan kini timbul. Adakah ASEAN dalam kedudukan terdesak untuk menerima pengaruh asing lain seperti Kesatuan Eropah (EU) selain Majlis Negara Teluk (GCC) dan China bagi mencari penyelesaian berkenaan isu-isu tertentu ?
Adakah ASEAN juga memerlukan pengaruh asing untuk dijadikan sebagai orang tengah atau pendamai sebelum menjadi sebuah blok yang kuat?
Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, ASEAN sememangnya memerlukan kuasa asing bagi menangani isu penting terutama berkaitan ekonomi selepas kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS).
“China diperlukan ASEAN sebagai rakan dagangan terbesar dalam rantau ini. Justeru dalam hal ini ASEAN memerlukan negara luar.
“Begitu juga dengan peranan GCC yang mampu membangkitkan menjadi tunjang ekonomi masa depan,” jelasnya.
Walau apa pun, ASEAN perlu mencari pendekatan kreatif untuk memastikan isu serantau dapat ditangani dengan berkesan sama ada menerusi rundingan atau melibatkan pihak lain dengan mengemukakan cadangan serta strategi tertentu. – UTUSAN











