Sokong penuh usaha Kementerian Perpaduan lahir negara bangsa padu

Sokong penuh usaha Kementerian Perpaduan lahir negara bangsa padu

MELALUI kerjasama semua pihak pastinya akan melahirkan ikatan rakyat yang betul-betul berkongsi dorongan dan aspirasi untuk pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT dakwaan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang rapuh ketika ini sebahagiannya disebabkan kurang diberikan keutamaan untuk satu tempoh panjang. Ia didakwa berlaku dari awal 1980-an sehingga awal 2000-an.

Dalam tempoh dua dasawarsa ini, pemerintahan yang terlibat didakwa lebih tertumpu kepada pembinaan negara. Ia merujuk pelbagai proses mewujudkan pembangunan mampan untuk negara.

Melaluinya, keperluan semasa bukan sahaja dipastikan terjamin, juga kebolehan generasi mendatang memenuhi keperluan sendiri. Antara proses terpenting ialah ekonomi, iaitu pengurusan sumber negara yang hemat.

Juga dengan dakwaan ini, bermakna perkara yang kurang diberikan tumpuan sewajarnya ialah pembinaan bangsa. Ia adalah proses untuk melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri kebangsaan.

Dengan ini, mereka akan memiliki identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat Malaysia. Antara proses yang terpenting adalah sosialisasi, yakni mempelajari ideologi negara untuk menjiwainya.

Sewajarnya pembinaan negara dan bangsa harus berjalan serentak. Ini kerana kedua-duanya memang saling melengkapi. Dengan ini, ia bermaksud kedua-duanya perlu bergabung untuk memperkasa satu sama lain.

Dalam hal ini, negara yang baik urus tadbirnya dalam konteks pembinaan negara yang berjaya akan mempermudah pembinaan bangsa. Ini berlaku apabila ia dapat membekalkan sumber dan prasarana. Begitu juga keadaannya dengan pembinaan bangsa yang berhasil, ia dapat memperkukuh pembinaan negara, antaranya pada sisi keabsahan dan kestabilan.

Tidak dapat dinafikan pembinaan negara adalah penting. Ini jelas terbukti antaranya pada sistem perundangan, struktur pentadbiran dan institusi politik yang diwujudkan untuk memerintah negara. Dengan adanya semua ini dalam keadaan mantap, negara bukan sahaja dapat membangunkan pendidikan, kesihatan dan prasarana tetapi dapat mempertingkatnya. Ini sangat penting untuk kebaikan seluruh negara.

Selanjutnya negara yang terbina mempunyai peranan utama untuk mengurus sumber semula jadi agar selalu mampan. Pengeloloan begini sudah tentu sangat bermanfaat kepada negara. Selain ini, ia juga bertanggungjawab untuk melindungi rakyat dan wilayahnya. Ini adalah untuk memastikan keselamatan di dalam negara selain ancaman dari luar terjamin pada setiap masa.

Untuk pembinaan bangsa pula, ia melibatkan pemupukan perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat. Ini penting untuk mereka sama-sama berkongsi nilai dan tradisi budaya, di samping yang lain-lain sebagai satu kelompok besar atau komuniti nasional.

Selanjutnya pembinaan bangsa bertujuan untuk menyatukan pelbagai etnik dalam negara. Tujuannya untuk mewujudkan kesepakatan dari semua segi dalam kalangan rakyat. Terpenting ialah persefahaman bersama. Ini dapat diwujudkan dengan mencari titik persamaan dalam semua isu penting. Antaranya pada ideologi politik, norma sosial dan dasar ekonomi.

Dengan adanya semua ini, negara yang rakyatnya bersatu akan dapat memberikan keabsahan perundangan. Ini berlaku melalui kewibawaan dan kestabilan setelah negara ditubuhkan secara sah.

Sehubungan kedua-dua pembinaan negara dan bangsa, memang terbukti kejayaan dari segi pembinaan negara akan menjadi tunjang kuat kepada pembinaan bangsa di dalamnya. Ini dapat dilihat pada penyediaan perkhidmatan dan prasarana yang bukan sahaja akan menyumbang terhadap kesejahteraan rakyat tetapi juga pemupukan perasaan megah kepada negara selain perasaan bersatu yang padu.

Begitu juga halnya dengan perpaduan rakyat yang semestinya akan memperkasa negara. Ini ternyata apabila wujudnya perasaan tidak berbelah bahagi kepada negara dalam konteks kesetiaan. Ia penting kerana dampaknya yang langsung kepada negara. Dengan ini, bukan sahaja perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi kuat lagi utuh sebaliknya akan mempertingkat perasaan keterikatan kepada negara. Itulah kepentingan kedua-dua pembinaan negara dan bangsa.

Sehubungan ini, kejayaan masing-masing sangat bergantung kepada proses kukuh mengukuh antara satu sama lain. Justeru, tidak boleh sesekali ada usaha bersendirian semasa mengendalikannya.

INISIATIF
Sesungguhnya dakwaan pembinaan bangsa tidak setuntas pembinaan negara, ada kebenarannya. Ini amat ternyata apabila setelah sekian lama tertubuhnya negara, kita masih tidak berjaya dalam sesetengah sisi pembinaan bangsa.

Antaranya adalah masih ada dalam kalangan generasi muda yang tidak menguasai bahasa Melayu walaupun ia bahasa negara. Begitu juga halnya apabila masih ramai golongan muda yang tidak mengetahui cara hidup etnik lain.

Ini ternyata sekali dalam konteks Dasar Kebudayaan Negara (Daken) yang terasnya adalah budaya rakyat tempatan. Ia tidak lain tidak bukan adalah etnik Melayu-Islam.

Sebenarnya ketiadaan hasilan signifikan daripada pembinaan bangsa di Malaysia bukan sahaja mula disedari. Juga mahu ditangani sesegera yang boleh. Ini dapat dilihat pada ikhtiar daripada kerajaan semasa yang sedang dilakukan dengan tekun lagi serius oleh Kementerian Perpaduan.

Untuk ini, Modul Penghayatan Rukun Negara sebagai antara ideologi negara kita sedang giat diusahakan. Antara isi pentingnya ialah Rukun Negara selaku wadah perpaduan, keperluan meraikan kepelbagaian, kefahaman mendalam terhadap Rukun Negara serta pembinaan jati diri dan nilai kemanusiaan.

Mudah-mudahan melalui modul ini, Rukun Negara akan dijiwai dan bukan lagi sekadar hafalan semata-mata. Ini penting untuk rakyat memiliki sikap dan tingkah laku sebagaimana yang dihasratkan Rukun Negara.

Selain ini, Kementerian Perpaduan juga sedang giat berusaha untuk melahirkan negara bangsa, yakni rakyat Malaysia yang berkongsi jati diri kebangsaan yang serupa. Antaranya adalah dengan cara sama-sama berkongsi sebilangan ciri utama kenegaraan.

Natijahnya di sini ialah perlu ada keseragaman tentang kesedaran persamaan pada sejarah, budaya dan bahasa negara. Sehubungan ini, ciri utama kenegaraan bahasa Melayu sebagai bahasa negara bukan sahaja wajib selalu didukung bersama oleh semua. Juga wajib dipamerkan oleh setiap seorang rakyat pada setiap masa.

Semoga ikhtiar murni Kementerian Perpaduan ini bukan sahaja disambut baik, juga diberi kerjasama penuh. Ini penting sekali untuk melahirkan ikatan rakyat Malaysia yang betul-betul berkongsi dorongan, aspirasi dan destini nasional yang serupa. Sesungguhnya, sifat serupa inilah kekuatan paling unggul pada negara bangsa kita.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×