KYIV: Russia melancarkan serangan besar-besaran menggunakan 367 dron dan peluru berpandu ke atas bandar Ukraine termasuk ibu negara Kyiv, sepanjang malam Sabtu.
Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera, dalam serangan udara terbesar sejak perang bermula antara kedua-dua negara itu.
Menurut pegawai tempatan, tiga kanak-kanak antara mangsa yang terkorban di wilayah utara Zhytomyr.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk bersuara mengenai serangan tersebut, terutama selepas negara itu mengambil pendekatan lebih lembut terhadap Russia dan Presidennya, Vladimir Putin, sejak Donald Trump memegang jawatan.
“Diamnya Amerika dan negara lain di dunia, hanya menggalakkan Putin.
“Setiap serangan keganasan seperti ini sudah cukup menjadi alasan untuk sekatan baharu dikenakan terhadap Russia,” katanya di Telegram.
Serangan tersebut merupakan yang terbesar dari segi jumlah senjata dilancarkan sejak perang bermula, walaupun beberapa serangan lain sebelum ini meragut lebih ramai nyawa.
Tentera udara Ukraine berkata, Russia melancarkan 298 dron dan 69 peluru berpandu dalam serangan semalaman itu.
Namun, pasukan Ukraine berjaya menembak jatuh 266 dron dan 45 peluru berpandu tersebut.
Kerosakan dilaporkan berlaku di beberapa pusat wilayah utama, termasuk bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, Mykolaiv di selatan dan Ternopil di bahagian barat.
Di Kyiv, ketua pentadbiran tentera bandar itu, Tymur Tkachenko berkata, 11 orang cedera akibat serangan dron.
Tiada kematian dilaporkan di ibu negara, namun empat maut di kawasan sekitar bandar tersebut.- AGENSI











