Di sebalik kehebatan aneka jenama perniagaan tempatan yang cukup dikenali hari ini, terselit seribu satu kisah jerih-perih membina empayar perniagaan masing-masing.
Bukan mudah membangunkan sebuah perniagaan kerana memiliki dana yang besar juga belum menjamin sesebuah perniagaan kekal utuh dan relevan dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, sikap berani mencuba sesuatu yang baharu serta memanfaatkan segala kecanggihan yang ada menjadi titik tolak kepada kejayaan yang dikecapi ketika ini.
Pengasas Anjoe Raw Beaute, Anjoe Koh berkata, dia mula menggunakan media sosial friendster dengan 20,000 pengikut.
Apabila platform itu ditutup, dia kemudian beralih kepada media sosial lain seperti Facebook, Instagram dan TikTok ketika pandemik Covid-19.
“Daripada sudut perniagaan, kita perlu menembusi pasaran menggunakan pelbagai platform media sosial dengan mengadaptasi bahasa mereka. Anda akan dapati pengguna TikTok dan platform media sosial dari China berbeza.
“Di China, lebih cenderung kepada testimoni yang sebenar. Jadi, apabila masuk ke platform mereka, anda perlu ‘bercakap’ berdasarkan bahasa mereka untuk menjadi tular,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk Winning through agility: Lesson from Successful Entrepreneur sempena CTOS SME BizDay 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
SME BizDay adalah platform kolaboratif yang dibangunkan oleh CTOS sejak tiga tahun lalu bagi membantu PKS menangani cabaran seperti celik digital, pembiayaan dan penggunaan data untuk keputusan kewangan lebih bijak.
Panel lain dalam dialog itu, Ketua Pegawai Operasi Zus Coffee, Venon Tian ; Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin; Pengasas Bersama Bloom This, Penny Choo dan Pengasas Bersama dan Ceo Montigo, Melvin Chee.
Tambahnya yang berjaya mencipta nama dalam e-perdagangan, teknologi maklumat (IT) perlu dimanfaatkan untuk menarik perhatian pelanggan.
Sebagai contoh, orang ramai masih mengikuti Elon Musk walaupun kini beliau melabur dalam hartanah dan bukan lagi roket kerana tertarik dengan kepakaran IT beliau.
Bagi Anjoe pula, dia bermula dengan membina saluran Youtube sendiri.
Atas kapasiti sebagai ahli farmasi, dia berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai farmaseutikal dan mendidik masyarakat mengenai isu perhubungan ketika pandemik kerana ramai yang ‘terkurung’ dalam rumah.
“Saya kembangkan IT saya sendiri kemudian ceritakan mengenai produk saya. Ramai orang menggunakan TikTok dan Facebook untuk menjual sesuatu, bukan sahaja tertumpu kepada satu produk semata-mata tetapi mungkin mereka menjual tisu tandas, produk penjagaan kulit, esoknya pula menjual minyak jagung.
“Orang sekarang bukan sahaja membeli produk tetapi mereka membeli kepercayaan, nilai dan penceritaan yang dipamerkan. Anda perlu pandai bercerita, jadi pastikan cerita anda cukup memukau,” katanya.
Biarpun persaingan produk kecantikan sangat sengit namun dia memilih untuk memasarkan produk dengan cara tersendiri tanpa terlalu mengikuti trend.
Anjoe lebih selesa memperkenalkan produk penjagaan kulit secara minimalis menerusi bahan mesra kulit yang sesuai untuk wanita moden.
BERANI MENCUBA SESUATU YANG BAHARU
Venon Tian berkata, beliau tidak pasti model perniagaan terbaik kerana perniagaan menjual kopi bermula secara dalam talian.
“Model perniagaan yang diguna pakai adalah pelanggan datang beli dan menerusi penghantaran. Orang tidak faham apa sebenarnya yang kami ingin capai ketika itu. Kami pilih model ini kerana minat yang mendalam selain latar belakang sedikit sebanyak dalam teknologi.
“Kami mahu mencuba sama ada kami boleh menjual kopi secara atas talian. Ramai yang tidak dapat menerima cara ini, tetapi kami masih mahu mencuba. Kami menumpukan apa yang kami ingin capai dan perniagaan kami terus berkembang,” katanya.
Jenama Zus Coffee yang semakin hype dalam kalangan anak muda ini menyusun perancangan perniagaan dengan teliti saban tahun.
“Kami bermula dengan kios. Daripada situ kami mengeluarkan banyak kos kerana kami ‘mengajar’ orang membeli kopi secara atas talian. Dua bulan kemudian, kami cuba masuk ke pasaran lebih ramai di pusat membeli belah.
“Jadi, daripada kios kecil di sudut dalam bangunan pejabat, kami ke pusat membeli belah. Kemudian, Covid-19 pula menyerang.
“Ketika pandemik, semua orang mula menggunakan perniagaan secara atas talian, sedangkan kai sudah melakukannya,” katanya.
Tambahnya, lot kedai paling menguntungkan. Daripada situ, perniagaan berkenaan terus berkembang dan terus memilih model perniagaan berasaskan lot kedai.
Tahun demi tahun, dia memastikan ada matlamat yang berbeza. Usaha itu membuahkan hasil apabila pada tahun 2021, mereka berjaya menubuhkan 60 kedai dan tahun seterusnya sehingga 180 kedai.
“Persoalan seterusnya adakah kami ingin mengembangkan sayap ke luar negara pada tahun 2022? Kami rasa tidak, kerana mahu menjadi jaguh tempatan saja. Namun pada tahun 2023, kami menjalankan kutipan dana untuk Filipina dan ia menjadi permulaan kami merentas ke
negara itu. Bagi saya, jika benar-benar komited dan fokus, kita akan terus berkembang,” katanya.
USAHAWAN PERLU TANGKAS
Ameer Ali berkata, produk yang baik perlu memiliki perancangan yang teliti.
Ciri-ciri itu amat ditekankan sebelum sesuatu produk dibawa masuk ke Mydin.
“Ketangkasan dalam perniagaan juga sangat penting. Usahawan perlu tangkas untuk berubah, bergerak dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Selain itu, anda perlu mendengar pendapat, belajar dan bersikap merendah diri.
“Bagaimanapun, akhirnya semua keputusan yang dibuat mesti datang daripada hati anda sendiri. Ikut naluri anda yang akan membawa kepada perkara yang ingin dicapai. Jangan terlalu terikat dengan perancangan, berfikir keterlaluan, sebaliknya lebih baik memberikan tumpuan
kepada apa yang ingin dicapai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Usahawan juga disarankan jangan terlalu bimbang pada pencapaian dan keuntungan semata-mata kerana wang yang dijana, akan hilang.
Tidak mustahil mendapat untung sejuta tetapi tetap berisiko hilang beratus juta.
Sebagai contoh, ketika Covid-19, ramai usahawan hilang berjuta-juta ringgit kerana tiada pendapatan tetapi masih ada yang teguh berdiri selepas pandemik dan dapat menyelamatkan perniagaan masing-masing.
“Apa yang penting, jangan lari daripada hutang. Sentiasa jawab panggilan bank dan jelaskan anda tidak dapat membuat pembayaran pada minggu ini tetapi akan bayar minggu hadapan. Anda perlu bertanggungjawab. Orang di sekeliling seperti pembekal, rakan dan keluarga akan memberikan sokongan kepada anda. Keluarga dan rakan yang baik akan membantu seperti pengalaman saya sendiri.
“Selain itu, berniaga jangan ikut apa yang kita suka sebab tiada siapa peduli apa yang kita suka.Sebaliknya, penuhi keinginan pelanggan. Sebagai contoh, apabila menawarkan baju Melayu walaupun kita sediakan lebih 40 warna, jika pelanggan mahukan warna hitam, mereka akan beli warna hitam sedangkan mungkin bagi kita ia adalah warna yang membosankan. Tapi warna itu perlu ada dalam kedai anda,” katanya.
Beliau juga mengingatkan usahawan supaya menyimpan wang dan jangan berjoli sakan dengan wang perniagaan.
Katanya, usahawan perlu meneladani buluh yang akarnya tertanam jauh di dalam tanah tetapi pucuknya melangit. Akar yang kukuh mampu bertahan ketika berdepan cabaran yang mendatang walaupun pucuknya musnah.
Usahawan juga perlu memiliki ketahanan berdepan dugaan atau musibah yang menjadi faktor penting kejayaan seseorang dalam bidang yang diceburi.
Memberi contoh dirinya ketika berdepan musibah apabila premis perniagaannya terbakar, Ameer Ali mengakui menangis ketika menerima khabar berkenaan tetapi tetap bangkit meneruskan perniagaan.
“Bagi saya setiap cawangan pasaraya Mydin umpama anak saya sendiri. Walau apapun bencana yang menimpa, terbakar atau banjir, perniagaan perlu diteruskan. Senjata saya hanya berdoa dan selalulah berbuat baik kepada semua orang,” katanya.
KAEDAH ORGANIK
Strategi dan taktik yang digunapakai berbeza mengikut tahap sesuatu perniagaan.
Kata Penny Choo, cabaran utama usahawan adalah modal yang terhad ketika permulaan.
“Tidak banyak sumber dan dana untuk menembusi pasaran. Kita benar-benar bergantung kepada kuasa mulut ke mulut mengenai kualiti produk yang dipasarkan. Jadi, produk yang ditawarkan perlu berkualiti, rekaan menarik dan penghantaran pada masa yang ditetapkan.
“Apabila asas ini teguh, ia menggalakkan pengguna menyebarkan kepada orang ramai mengenai produk anda. Anda boleh memberikan insentif kepada pelanggan yang memberikan cadangan atau berkongsi mengenai produk ditawarkan di media sosial,” katanya.
Katanya, sepuluh tahun lalu ketika memulakan perniagaan, platform yang digunakan adalah Instagram tetapi perniagaannya sentiasa dijalankan secara e-perdagangan.
Jenamanya dibina melalui Instagram dan seterusnya membawa pelanggan ke laman sesawang untuk maklumat lanjut.
Pada tahap permulaan, usahawan perlu mencari kaedah organik untuk membina perniagaan.
Pada tahap ini juga, peniaga tidak boleh terlalu memilih pelanggan.
Justeru, setiap tempahan perlu diterima dan perlu melakukan yang terbaik.
“Anda juga perlu mendengar apakah yang diinginkan dalam pasaran. Saya masih ingat lagi nasihat daripada Datuk Ameer, sepuluh tahun lalu dalam satu acara, iaitu perlu memberikan ‘sambal belacan’ yang pasaran inginkan.
“Ketika mula berniaga, kami menawarkan bunga berdasarkan langganan di mana pelanggan hanya boleh mendapatkan bunga seminggu sekali. Tetapi, yang pasaran mahukan adalah sesuatu yang memudahkan, buat tempahan dan dapat bunga segera,” katanya.
Syarikat gubahan bunganya turut menawarkan penghantaran bunga pada hari yang dibeli selain masih meneruskan pembelian secara langganan.
Konsep perniagaan dijalankan berdasarkan tiga langkah iaitu mudah, keyakinan dan kreatif.
Pada peringkat awal, usahawan perlu tahu masalah yang perlu diselesaikan dan mencari pasaran produk yang tepat, menepati janji dan menghantar produk yang ditempah pada masa yang diinginkan pelanggan.
Sementara itu, Melvin Chee berkata, ketika pandemik Covid-19, perniagaannya mengalami kerugian hampir AS$5 juta (RM21.4 juta) selain terpaksa mengharungi cabaran getir pasca-pandemik.
“Namun, kami mempunyai perancangan perniagaan yang sempurna dengan tumpuan yang jelas dan sebelum itu kami memiliki dana sekitar AS$40 juta (RM170 juta). Meraih dana mungkin mudah bagi saya secara peribadi kerana kami mempunyai matlamat jelas untuk dituju.
“Anda perlu tahu apakah kaedah yang berkesan untuk perniagaan. Setiap wang yang diraih datang dengan tanggungjawab berbeza,” katanya.
Berkongsi bagaimana berjaya menghasilkan pelbagai produk, Melvin berkata, dia membiasakan diri melakukan banyak perkara dalam satu masa.
Berbekalkan usia muda dan semangat yang masih membara, Melvin mahu bertindak pantas untuk kekal sibuk tetapi masih fokus kepada perkara yang dilakukan
Montigo memiliki pasukan sendiri dan pasukan berbeza bagi setiap produk bagi mengkaji keperluan pengguna.-UTUSAN











