PARIS: Kemusnahan hutan hujan tropika mencapai tahap membimbangkan tahun lalu, apabila kebakaran yang didorong oleh perubahan iklim menyebabkan kehilangan hutan pada skala luar biasa.
Secara keseluruhan, dunia kehilangan 67,000 kilometer persegi hutan tropika primer yang amat berharga, kawasan dua kali ganda saiz Belgium atau Taiwan.
Menurut kumpulan pemikir Global Forest Watch, kerugian itu adalah 80 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2023.
“Paras kemusnahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam lebih 20 tahun data. Ini adalah amaran merah global,” kata pengarah bersama organisasi itu, Elizabeth Goldman.
Kebakaran bertanggungjawab terhadap hampir separuh daripada kemusnahan hutan hujan tropika tahun lalu, sekali gus buat kali pertama mengatasi pertanian sebagai punca utama kemusnahan tersebut.
Kehilangan litupan pokok pada 2024, akibat penebangan hutan dan kebakaran, sama ada disengajakan atau tidak, menghasilkan lebih tiga bilion tan pencemaran karbon dioksida (CO2), melebihi jumlah pelepasan bahan api fosil oleh India dalam tempoh sama.
Hutan tropika, yang mempunyai kepekatan biodiversiti tertinggi, adalah yang paling terancam berbanding mana-mana biom hutan lain.
Ia juga merupakan span untuk CO2, membantu menghalang suhu global daripada meningkat lebih cepat.
Kebakaran hutan bukan sahaja menjadi punca kepada perubahan iklim, tetapi juga melepaskan berbilion tan karbon ke atmosfera, yang seterusnya mempercepatkan pemanasan global dan mendorong lebih banyak kebakaran berbahaya.– AFP











