BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan empat siri sekatan baharu terhadap Russia berhubung perang di Ukraine, termasuk pakej ke-17 yang menyasarkan armada ‘bayangan’ Moscow serta langkah berkaitan senjata kimia, hak asasi manusia dan ancaman hibrid.
Suruhanjaya Eropah (EC) dalam satu kenyataan memaklumkan, sekatan tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan EU dan sekutunya di Barat untuk menyekat operasi armada kapal tangki Russia yang digunakan untuk mengelak had harga minyak mentah yang dikenakan oleh negara Kumpulan Tujuh (G7) sejak akhir 2022.
Untuk rekod, harga siling yang dikenakan membenarkan Russia menjual minyak mentah kepada negara ketiga dengan syarat ia menggunakan perkhidmatan insurans Barat dan tidak melebihi AS$60 (RM256.60) setong.
Bagaimanapun, tindakan keras EU dan G7 terhadap armada tersebut kini dilihat mula menjejaskan pendapatan eksport Russia justeru, EU dijangka mendesak supaya harga siling itu diturunkan lagi dalam mesyuarat menteri kewangan G7 di Kanada minggu ini.
Minyak dan gas merupakan antara sumber utama pendapatan Russia untuk membiayai operasinya di Ukraine.
Menurut sumber diplomatik EU, pakej terbaharu itu akan menjejaskan lebih 130 entiti dan individu.
Di bawah pakej ke-17, sebanyak 75 entiti baharu disenaraikan, termasuk syarikat minyak utama Russia, Surgutneftegaz, sebuah syarikat insurans perkapalan dan empat firma pengurusan armada bayangan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Hong Kong.
EU turut menambah 189 buah kapal, termasuk 183 kapal tangki minyak ke dalam senarai entiti disekat, menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang disekat kini mencecah 324 buah.
Sebagai langkah tambahan, EU kini giat berunding dengan negara-negara yang menjadi tempat pendaftaran kapal untuk menyekat penggunaan ‘bendera kemudahan’ oleh Russia, iaitu bendera negara selain daripada pemilik sebenar kapal.
Antara negara yang dikenal pasti digunakan oleh kapal Russia termasuk Sierra Leone, Gabon, Comoros, negara-negara kepulauan Caribbean dan Pasifik, India, Azerbaijan dan juga negara Eropah tanpa laluan laut, San Marino, menurut sumber EU.
Selain itu, pakej sekatan kali ini turut memperketatkan kawalan terhadap penjualan barangan dwiguna, iaitu produk atau teknologi yang boleh digunakan semula oleh tentera Russia.
Senarai baharu juga menyasarkan entiti yang menyokong industri ketenteraan Russia di China, Belarus dan Israel. -AGENSI











