KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pembuat dan pembekal pakaian diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1.7 juta kepada pengeluar produk telekung berjenama, Siti Khadijah selepas didapati meniru salah satu telekung keluaran syarikat terbabit.
Perintah berhubung ganti rugi itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Adlin Abdul Majid pada satu prosiding yang dijalankan secara atas talian pada 6 Mac lalu.
Pada 8 Februari 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa bahawa Telekung Suqainah milik plaintif, Airaz Technologies Sdn. Bhd. telah meniru dan melanggar reka bentuk Telekung Harmoni milik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan.
Siti Khadijah Apparel dan pengarahnya, Padzilah Enda mendakwa terdapat persamaan ketara melalui reka bentuk dan corak di bahagian kepala dan dagu Telekung Suqainah yang meniru Telekung Harmoni Siti Khadijah.
Peguam Ahmad Hafiz Zubir yang mewakili Siti Khadijah Apparel dan Padzilah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.
Jelasnya, mahkamah telah memerintahkan Airaz membayar RM1,216,015.20 yang merupakan keuntungan daripada hasil penjualan telekung jenama Suqainah Lite dan Suqainah Luxe (telekung di bahawa sub-jenama Suqainah).
“Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Airaz Technologies membayar gantirugi pampasan dan teladan sebanyak RM500,000, dan kos prosiding berjumlah RM5,000 kepada Siti Khadijah Apparel,” katanya.
Pada pertengahan 2022, Siti Khadijah Apparel telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Airaz yang didakwa telah menjual, mengiklan dan mengedarkan Telekung Suqainah Lite Airaz yang meniru dan menciplak reka bentuk telekung miliknya, Telekung Harmoni sekaligus melanggar hak reka bentuk perindustriannya.
Sehubungan itu, Siti Khadijah Apparel antara lainnya menuntut Airaz menghentikan jualan, pemasaran dan pembuatan Telekung Suqainah Lite atau mana-mana telekung di bawah sub jenama Suqainah.
Selepas menerima surat tuntutan tersebut, Airaz telah memfailkan saman pemula pada 2 Jun 2022 untuk membatalkan tiga Reka Bentuk Berdaftar (RID) Siti Khadijah Apparel berkaitan telekung.
Siti Khadijah Apparel kemudian memfailkan tuntutan balas terhadap Airaz pada 14 Disember 2022 dengan mendakwa terdapat persamaan ketara melalui reka bentuk dan corak di bahagian kepala dan dagu Telekung Suqainah Lite yang meniru Telekung Harmoni Siti Khadijah.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, Hakim Azlan Sulaiman dalam penghakiman ringkasnya menyatakan, selepas membuat penelitian terhadap sampel Suqainah Lite dan membandingkannya secara visual dengan reka bentuk ‘Harmoni’, mahkamah mendapati ciri-ciri penting ‘Harmoni’ turut ada pada Suqainah.
“Plaintif mendakwa bahawa rekaan kesemua RID defendan bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, plaintif telah gagal menunjukkan bukti mencukupi bagi menunjukkan bahawa RID defendan adalah bukan benda baharu. Plaintif juga gagal menunjukkan bahawa telekung terbabit telah didedahkan kepada awam sebelum defendan mendaftar reka bentuknya,”kata Azlan.
Sehubungan itu, Hakim Azlan memutuskan bahawa Airaz telah melanggar reka bentuk perindustrian berdaftar Siti Khadijah di bawah seksyen 32 Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.
Bagaimanapun, pada ketika itu mahkamah memerintahkan bahawa ganti rugi yang perlu dibayar Airaz akan ditaksirkan pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.-UTUSAN










