Ribut kencang, puting beliung ragut 27 nyawa di AS

Ribut kencang, puting beliung ragut 27 nyawa di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENTUCKY: Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh akibat puting beliung yang melanda kawasan tengah dan Selatan Amerika Syarikat (AS) dan telah merosakkan kediaman, kenderaan dan menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear turut mengumumkan bahawa 18 kematian berlaku di negerinya dengan 10 lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Daripada jumlah korban itu, 17 kematian berlaku di Daerah Laurel di tenggara Kentucky, manakala seorang lagi di Daerah Pulaski melibatkan seorang anggota bomba veteran, Mejar Roger Leslie Leatherman yang berkhidmat selama 39 tahun dan terkorban ketika bertugas dalam cuaca buruk itu.

Menurut Beshear, sebahagian daripada 24 jalan raya negeri terpaksa ditutup dan ada yang dijangka mengambil masa beberapa hari untuk dibuka semula.

Beliau turut menyatakan angka korban mungkin akan terus meningkat.

“Kita perlukan seluruh dunia ketika ini untuk menjadi jiran yang prihatin kepada wilayah ini,” katanya.

Pengarah Pengurusan Kecemasan Negeri, Eric Gibson memaklumkan ratusan rumah telah mengalami kerosakan akibat bencana itu.

Pejabat sheriff berkata, operasi mencari mangsa dijalankan sepanjang malam hingga ke pagi.

Sebuah pusat perlindungan kecemasan dibuka di sekolah menengah tempatan dan bantuan makanan serta keperluan lain mula tiba.

Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan masih belum mengesahkan bahawa bencana itu merupakan puting beliung, namun ahli meteorologi Philomon Geertson berkata, kejadian itu hampir pasti berpunca daripadanya.

Ia dipercayai melintasi kawasan luar bandar dan sampai ke Lapangan Terbang London Corbin sebelum tengah malam.

Seorang penduduk, Chris Cromer berkata, beliau menerima amaran puting beliung pertama di telefonnya sekitar jam 11.30 malam, kira-kira setengah jam sebelum kejadian. Beliau dan isterinya segera membawa anjing mereka dan berlindung di ruang bawah rumah saudara berhampiran kerana ruang bawah rumah mereka sendiri terlalu kecil.

“Kami boleh dengar dan rasa gegaran puting beliung yang melanda,” kata Cromer, 46 tahun. Sebahagian bumbung rumahnya tercabut dan beberapa tingkap pecah, namun rumah di sekelilingnya musnah sepenuhnya.

Ribut ini merupakan bencana cuaca buruk terkini yang mengakibatkan kematian dan kerosakan besar di Kentucky.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×