‘Berapi’, ‘terbakar’ cabaran BMW Heritage Ride

‘Berapi’, ‘terbakar’ cabaran BMW Heritage Ride

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAPI! Di bawah terik suhu 39 darjah Celsius, but yang dipakai terasa seperti dipanggang di atas bara api. Topi keledar pula umpama sedang dibakar! Panas!

Baju T yang dipakai jangan ceritalah, berlengas dek peluh. Mulut dan tekak seolah-olah merayu minta simpati agar diberikan seteguk air, namun apakan daya, tempat dituju belum juga sampai-sampai lagi!

Ibu jari dan telunjuk sebelah kiri lengan saya mulai rasa kebas. Sampaikan terngiang-ngiang dalam kepala, aku ni kena strok mini ke?

Itu antara pengalaman yang saya lalui semasa menyertai konvoi Heritage Ride anjuran BMW Motorrad dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Paling istimewa, bukan semua model motosikal BMW layak menyertai konvoi ini, hanya segmen heritage dibenarkan. Segmen reka bentuk klasik dengan ciri-ciri moden ini terdiri daripada model-model R12, R nine T dan R18.

Program bermula dengan 30 motosikal bersama penunggang serta pembonceng berhimpun di restoran Locarasa, Bamboo Hills, Kuala Lumpur. Kami diraikan dengan sarapan pagi oleh pengurusan BMW Motorrad Malaysia, diikuti taklimat keselamatan oleh jurulatih bertauliah BMW Motorrad, Faizal Sukree.

Awal-awal lagi Faizal sudah beri ‘amaran’, tiada seorang pun penunggang boleh melepasi motosikalnya dalam konvoi yang diketuainya itu. Ini bertujuan menjaga keselamatan setiap peserta dan mengelak kejadian tidak diingini.

Tepat pukul 8.15 pagi, konvoi berlepas ke Sekinchan, Selangor. Cuaca begitu baik, seolah-olah ‘merestui’ perjalanan kami, padahal beberapa hari sebelum ini kerap hujan pada sebelah pagi.

Sesuai dengan konsep motosikal klasik milik para peserta, laluan ditetapkan terdiri daripada jalan lama dan jalan kampung. Laluan sebegini lebih menyamankan, tidak seperti lebuh raya yang sentiasa sibuk.

Menyusuri kebun, kampung, tali air dan bendang mencetuskan suasana relaks dan tenang.

Selain itu, setiap lokasi persinggahan mempunyai sejarah tersendiri.

 

 

Terminal Sekinchan
Setelah mengharungi perjalanan kira-kira 100 kilometer (km), kami tiba di lokasi pertama, iaitu Terminal Sekinchan. Digelar sedemikian kerana ada pesawat Boeing 727 di tengah-tengah sawah padi.

Keunikan sebegini pastinya menyajikan pemandangan yang menarik. Memang betul, hasil gambar-gambar yang dirakamkan di situ, semuanya mengagumkan!

Selepas mengisi minyak di Sekinchan, konvoi meneruskan perjalanan menuju Batu Gajah, Perak. Berbeza dengan Sekinchan, laluan ke sini sedikit lebar dan lengang.

Maka sesekali dapatlah kami melepaskan ‘geram’ dengan memecut laju. Maklumlah, sejak dari ibu negara, kelajuan yang tidak ‘seberapa’ sedikit membosankan.

Hilanglah seketika resah dan rasa tidak selesa disebabkan punggung masing-masing sudah ‘keras’ kerana menunggang hampir 250 km jauhnya dalam kelajuan sederhana.

 

Kapal korek
Kami singgah di lokasi kapal korek Tanjung Tualang Tin Dredging No. 5 (TT5) di Batu Gajah. TT5 adalah warisan sejarah Perak dan merupakan kapal korek terakhir yang masih wujud di negara ini.

Suatu ketika dahulu ia menjadi tempat penduduk tempatan mencari rezeki dengan melombong bijih timah di bawah seliaan pentadbiran British. Kini berusia 87 tahun, ia merupakan mercu tanda yang Perak pernah dikenali sebagai pengeluar bijih timah terbesar dunia.

Di situ kami bergabung dengan 23 lagi motosikal dari Perak dan Pulau Pinang menjadikan keseluruhannya 53 buah. Hala tuju kami seterusnya adalah Tasik Cermin, Ipoh.

Kalau ikutkan dalam peta, jarak perjalanan ke Tasik Cermin hanyalah kira-kira 30 km lagi. Namun, jarak yang dekat itulah sebenarnya detik paling mencabar dalam konvoi ini.

Manakan tidak, waktu sudah dinihari dengan matahari terpacak di atas kepala. Perut sudah berkeroncong minta diisi kerana lapar.
Senang cakap, masing-masing sudah ‘barai.’ Seperti saya ceritakan pada awal artikel ini, suhu mencecah 39 darjah Celcius, but umpama dipanggang atas bara api, topi keledar rasa terbakar, mandi peluh dan haus teramat sangat.

Tambah menyeksakan, kereta penuh di atas jalan raya dan banyak simpang. Sekejap-sekejap berhenti, lampu merah. Sekejap-sekejap terpaksa ‘cilok’ deretan kenderaan.

Lagi pula tidak boleh tunggang laju. Guna gear 1,2 dan 3 sahaja menyebabkan terpaksa sering tarik dan lepaskan klac. Akibatnya, jari kebas.

Tasik Cermin
Namun, cabaran tersebut berjaya diharungi. Selepas sejam, kami tiba dengan selamat di Tasik Cermin untuk menikmati makan tengah hari di kafe Kin Loong. Lega rasanya.

Kami menghirup kopi istimewa di kafe berkenaan, iaitu Chang Jiang White Coffee. Segar kembali mata yang sebelum itu kuyu kerana penat.

Di belakang kafe ini ada gua batu kapur yang dikunjungi pelancong bertali arus. Meskipun di luar panas terik, suasana di dalam gua berkenaan begitu dingin dan menyamankan.

Perut pun sudang kenyang, kami seterusnya ke hotel penginapan di tengah-tengah bandar raya Ipoh untuk berehat sementara menanti program pada sebelah malam.

 

Panggung Ruby
Kami dijamu makan malam di Restoran Mohd. Chan yang terletak di Jalan Raja Muda Aziz. Selain disajikan makanan Cina Muslim yang lazat dan enak, seperkara lain yang menarik perhatian saya adalah bangunan restoran tersebut.

Restoran itu merupakan panggung wayang lama Ruby yang dibina pada 1938. Dekorasi di dalamnya berkonsepkan pawagam lama. Nampak klasik dan penuh nostalgia.

Kami mengakhiri malam itu dengan bersantai sambil menikmati pemandangan menarik bandar raya Ipoh dari aras bumbung hotel sebelum masing-masing berpisah untuk pulang ke destinasi masing-masing pada keesokan harinya.

Memori indah
Sementara itu, Pengurus Pemasaran BMW Motorrad Malaysia, Audrey Tan yang turut serta dalam konvoi menyifatkan Heritage Ride ke Ipoh mencetuskan pengalaman amat berharga selain memaparkan semangat keakraban yang tinggi dalam kalangan 80 peserta termasuk 50 penunggang dan pembonceng.

Beliau kagum dengan kesepaduan dan disiplin yang ditunjukkan para peserta dalam mematuhi segala arahan bagi memastikan perjalanan selamat tanpa sebarang kecelakaan dengan pemantauan pasukan sokongan teknikal serta paramedik.

Menurutnya, maklum balas daripada para peserta juga sangat positif.

“Ramai menyatakan keghairahan untuk menyertai konvoi anjuran BMW Motorrad pada masa akan datang dengan mencadangkan destinasi-destinasi yang lebih menarik serta mencabar.

“Mereka juga melahirkan penghargaan di atas layanan mesra dan cemerlang disediakan oleh penganjur,” katanya.

Bagi saya, perjalanan konvoi sejauh 285 km itu sangat menyeronokkan dan mengujakan. Penat, memanglah penat. Tapi apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan memori indah yang diperoleh selain dapat kawan-kawan baharu yang satu kepala.

Banyak cerita pun tak guna. Tak sabar pula rasanya nak tunggu Heritage Ride BMW Motorrad selepas ini!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×