ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berikrar ‘membalas dendam’ terhadap serangan udara India yang dilancarkan pada awal kelmarin sehingga menyebabkan kematian 31 orang.
Beliau dalam ucapan di televisyen menegaskan, Pakistan akan bertindak balas secara strategik demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Beliau turut menolak sekeras-kerasnya tuduhan India konon terdapat kem pengganas di wilayah Pakistan.
“Atas kesilapan yang terang-terangan dilakukan India malam tadi (Rabu), mereka kini perlu membayar harganya.
“Mungkin mereka menyangka kita akan berundur, tetapi mereka lupa, ini adalah negara bangsa yang berani,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan demi menaikkan populariti dalam negara.
Dalam temu bual bersama Geo News, Muhammad Asif berkata, sebarang tindak balas Pakistan hanya akan menyasarkan sasaran ketenteraan India dan bukan orang awam.
KEROSAKAN EMPANGAN
Menurut Pakistan, sebuah loji kuasa hidro di Kashmir menjadi sasaran India, menyebabkan kerosakan pada struktur empangan, selepas India mengancam untuk menghentikan aliran air di sebelah sempadan.
Islamabad sebelum ini memberi amaran sebarang percubaan untuk menganggu aliran sungai ke wilayahnya akan dianggap sebagai ‘tindakan perang’.
Jurucakap kerajaan turut menyelar tindakan India membahayakan nyawa ribuan penumpang apabila 57 pesawat komersial berada di ruang udara Pakistan semasa serangan tersebut, termasuk pesawat dari Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Korea Selatan dan China.
Serangan terbesar India pula menyasarkan pusat pengajian Islam berhampiran bandar Bahawalpur di wilayah Punjab, yang mengorbankan kira-kira 13 orang, menurut kenyataan tentera Pakistan.
Di Muzaffarabad, ibu negeri Kashmir yang ditadbir Pakistan, sebuah masjid dan madrasah juga rosak teruk akibat serangan India.
Seorang penduduk, Muhammad Salman menceritakan suasana panik orang ramai selepas serangan India mengenai beberapa lokasi termasuk sebuah masjid.
Lima peluru berpandu mengorbankan tiga orang di bangunan dua tingkat itu yang turut menempatkan kediaman orang awam.
Pemerhati ketenteraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut hadir ke lokasi serangan bagi menjalankan siasatan.
KAWALAN KETAT
Sebanyak 21 lapangan terbang di seluruh utara dan barat laut India akan ditutup sehingga Sabtu, menyebabkan semua penerbangan berjadual di rantau itu terjejas.
Pegawai kanan polis, Shri Sirivennela berkata, anggota keselamatan turut diarahkan untuk mengawal ketat semua lapangan terbang.
“Tiada siapa dibenarkan masuk atau keluar kecuali anggota keselamatan dan kakitangan.
“Sehingga keadaan terkawal, kami akan mematuhi keputusan kerajaan pusat,” katanya kepada agensi berita India, ANI.
Sejak Rabu, beberapa syarikat penerbangan India dan antarabangsa mengeluarkan nasihat perjalanan berhubung pembatalan penerbangan ke dan dari destinasi di utara India, susulan serangan New Delhi terhadap Pakistan dan wilayah Kashmir.
Syarikat penerbangan lain turut mengubah laluan atau membatalkan perjalanan ke dan dari Eropah, dengan lebih 24 penerbangan antarabangsa dilencongkan bagi mengelak ruang udara Pakistan, menurut data FlightRadar24.
Pada awal pagi Khamis waktu tempatan, Reuters melaporkan Pakistan membuka semula ruang udaranya dan semua lapangan terbang kini beroperasi sepenuhnya.
KEKUATAN TENTERA
Keganasan terbaharu itu melebihi skala serangan India pada 2019, apabila New Delhi menyerang kumpulan penentang, susulan serangan pengebom bunuh diri terhadap konvoi pasukan keselamatannya yang mengorbankan 40 anggota.
Menurut penilaian kekuatan tentera Global Firepower 2025, India merupakan kuasa tentera keempat terkuat di dunia, manakala Pakistan berada di kedudukan ke-12.
India turut tersenarai sebagai antara lima negara teratas di dunia dalam perbelanjaan ketenteraan.

Pada 2024, India membelanjakan sebanyak AS$86 bilion (RM366.9 bilion) untuk ketenteraan, bersamaan 2.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pakistan membelanjakan AS$10.2 bilion (RM43.5 bilion), iaitu 2.7 peratus daripada KDNK pada tahun lalu.
Kekuatan keseluruhan tentera India adalah 5,137,550 anggota, hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding Pakistan yang mempunyai 1,704,000 anggota.
India memiliki 2,229 pesawat tentera, manakala Pakistan mempunyai 1,399.
Bagi kereta kebal tempur pula, India memiliki sebanyak 3,151 unit berbanding Pakistan dengan hanya 1,839 unit.









