SUBANG JAYA: Meskipun bersyukur dengan pengumuman peruntukan RM40 juta oleh kerajaan bagi membaik pulih kediaman yang musnah dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru berharap aspek perparitan tidak dipinggirkan.
Mohd. Saifullizam, 40, yang turut menyewakan rumahnya kepada dua keluarga sebelum kejadian berkata, sistem perparitan yang terganggu akibat tanah runtuh belum dimasukkan dalam pelan pemulihan.
“Tanah runtuh akibat letupan telah mengambus longkang. Tapi tidak ada taklimat lanjut tentang itu. Kami harap ia diberi perhatian juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang kini menyewa di Seksyen 27 Shah Alam berkata, walaupun rumah musnah bukan berpunca daripada mereka, penduduk tetap menanggung akibat besar termasuk terpaksa menyewa dan kehilangan sumber pendapatan.
“Kami bukan nak minta lebih, tapi ini bukan salah kami. Jadi kami cuma minta supaya pihak berwajib bantu ikut keperluan sebenar,” katanya yang menganggarkan kerugian mencecah setengah juta ringgit.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Radzi Mohd. Rashid, 43, berkata, keseluruhan rumah yang dibina hasil usaha turun-temurun keluarganya musnah, termasuk empat rumah sewa serta tiga bas dan tiga van miliknya yang digunakan untuk perkhidmatan bas sekolah.
“Rumah memang rosak teruk. Bas dan van pun habis terbakar. Saya juga melecur tahap tiga di lengan kanan dan masih belum sembuh. Muka pun ada kesan lecur. Sekarang saya dan keluarga terpaksa menyewa di Lot 43 KKSB,” katanya.
Radzi yang turut menguruskan perniagaan khemah dan sewaan majlis menganggarkan kerugian sekitar RM1 juta termasuk kos baik pulih rumah, kenderaan dan kerosakan sistem pendawaian.
Katanya, walaupun masih dalam fasa pemulihan fizikal dan emosi, beliau terpaksa bangkit demi memastikan keluarganya tidak terus terperangkap dalam keperitan.
“Kalau saya jatuh, siapa nak bangkitkan keluarga? Ibu saya juga cedera ketika melarikan diri semasa kejadian, jadi saya kena kuat demi mereka,” katanya.
Mohd. Radzi turut berharap segala janji dan perjanjian yang diumumkan sebelum ini tidak sekadar kata-kata.
“Kami tidak minta bantuan berlebihan, cuma kalau dah janji, laksanakanlah. Biar kami nampak ada hala tuju untuk kembali pulih,” katanya.
Penduduk kampung Kuala Sungai Baru kini menantikan siasatan penuh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka mengambil masa sebulan lagi, selepas polis mengenal pasti lokasi jentera pengorek yang dipercayai terlibat dalam insiden itu. – UTUSAN











